Gempabumi merupakan gegaran bumi hasil pelepasan tenaga yang sangat cepat. Gelombang seismos bergerak pada semua arah daripada punca yang dikenali sebagai fokus. Titik pada permukaan bumi diatas fokus ini dikenali sebagai pusat gempabumi. Misalnya pusat gempabumi semalam didapati berdekatan puncak Gunung Kinabalu. Ini bermakna fokus gempabumi terletak dibawah pusat ini. Dalam kes ini, fokus gempa berada sekitar 10 km dibawah. Inilah sebabnya berlaku tanah runtuh besar di gunung.
Gempabumi biasanya berlaku sepanjang sesar (retakan memanjang) dalam bumi sewaktu pembalikan elastik (elastic rebound). Bayangkan kita ambil pembaris plastik dan kita bengkokkannya. Selepas tahap tertentu ia akan patah dan seterusnya melepaskan tenaga yang disimpan olehnya. Batuan di dalam bumi pun berkelakuan begini.
Ada tiga jenis sesar, iaitu sesar mendatar (pergerakan horizontal), sesar naik dan sesar turun (pergerakan tegak). Dalam kes gempa di Ranau semalam, ia dihasilkan oleh sesar normal bertrend timurlaut-baratdaya.
Selepas gegaran besar beberapa gegaran kecil, dikenali sebagai "aftershocks" atau gempa susulan berlaku semasa kerak bumi mengalami pengubahsuaian. Kadang kadang terdapat gegaran kecil mendahului gegaran besar dikenali sebagai "foreshocks". Setakat ini terdapat 33 gempa susulan yang direkod oleh Jabatan Metereologi akibat gempabumi semalam.
Sekitar 80% gempabumi berlaku di Jalur Lingkaran Pasifik, hasil dari pertembungan plet bumi. Yang lain berlaku di luar jalur yang dikaitkan dengan sesar rantau yang masih aktif.
Seismik merujuk kepada gelombang tenaga yang dilepaskan selepas berlaku gempabumi. Ada tiga jenis gelombang seismik, iaitu gelombang mampatan dikenali sebagai P (Primer), gelombang ricih S (Sekunder) dan gelombang permukaan. Gelombang P adalah yang paling laju dan bergerak kedepan dan kebelakang, seperti "spring" kereta. Ini yang membuat kita merasa terayun dan pening bila gempa sampai di lokasi kita. Gelombang S pula bergerak turun dan naik, sementara gelombang permukaan bergerak dati kiri dan kanan. Kita-tiga gelombang ini akan dirasai hampir serentak kalau kita berada berdekatan dengan pusat gempabumi.
Kejadian gempabumi di Ranau berkait dengan kehadiran sesar aktif. Sesar aktif ini digerakkan kerana Sabah masih menerima tenaga mampatan dari interaksi 3 plet utama. Sebenarnya Sabah terletak pada tenggara Plet Eurasia. Di sebelah timur terdapat Plet Filipina-Pasifik. Plet ini bergerak sekitar 10cm per tahun kearah barat bertembung dengan Plet Eurasia. Di bahagian selatan Plet Australia bergerak kearah utara dengan kelajuan sekitar 7 cm per tahun. Sempadan pertembungan plet inilah adalah yang paling aktif dan tidak stabil. Gempabumi bermagnitud besar sampai M8 boleh terjadi selain berlaku gunung berapi. Walaupun Sabah terletak sekitar 1000km dari jalur pertembungan plet, ia masih menerima tenaga mampatan jarak jauh ini. Makin jauh dari jalur bahaya ini, makin kurang kesannya. Oleh kerana Sabah paling dekat dengan Filipina dan Indonesia (Sulawesi), maka ia menerima kesan yang lebih serius berbanding dengan Sarawak dan Semenanjung. Aktivi mampatan di Sumatra yang memberi kesan kepada Semenanjung.
Di Ranau terdapat intrusi batuan igneus akibat mampatan oleh interaksi tiga plet diatas. Intrusi batuan yang lebur ini juga satu cara untuk melepaskan tenaga tersimpan melalui sesar aktif. Jadi di Ranau bukan terjadi volkano, seperti yang dipercayai orang ramai. Maka itu Gunung Kinabalu tidak akan meletup. Volkano hanya terdapat di Tawau dan Semporna, dimana pernah berlaku letupan beberapa puluh ribu tahun dahulu. Kawa volkano masih kelihatan di Tawau.
Intrusi batuan igneus Gunung Kinabalu berlaku sekitar 7-8 juta tahun dahulu. Kini ia sudah sejuk di permukaan tapi masih ada sisa haba di bahagian dalam (beberapa km). Air panas Poring mendapat sumber haba dari ini apabila air hujan masuk dalam bumi melalui sesar-sesar yang masih aktif.
Semasa gempabumi semalam, air panas poring menjadi sangat keruh selama beberapa jam. Gegaran gempabumi nampaknya telah mengeluarkan mineral lempung yang terendap dicelah celah sesar ini. Akibatnya pengaliran air panas Poring lebih lancar dan lebih panas.
Gegaran kuat seperti yang berlaku semalam akan terus berlaku, apabila tenaga yang tersimpan sudah melebihi kemampuan bumi untuk menyimpannya. Ini biasanya berlaku secara berkala. Dalam kes gempabumi Ranau, ia berlaku sekitar 25 tahun. Yang pertama dalam ingatan kita berlaku pada tahun 1966 dengan magnitud 5.3. Yang kedua pada tahun 1991 bermagnitud 5.2 dan terkini pada tahun 2015. Kitaran ini anggaran saja, sebab rekod sejarah gempabumi di Sabah belum cukup panjang.
Sumber: Prof. Felix Tongkul, Pensyarah Geologi, UMS. 6/6/2015
0 comments :
Post a Comment