Tuesday, 12 May 2015

SSKM: kalau rasa bahagia siapa hendak cerai?

Kalau sesebuah perkahwinan itu bahagia, siapa yang hendak minta cerai? Keluhan rakyat Borneo yang diwakili Sabah dan Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) seharusnya diambil sebagai rujukan dan teguran bagaimana kita boleh menambahbaikkan persekutuan Malaysia.

Sedih sekali saya membaca berita penangkapan 9 aktivis SSKM oleh polis di Tuaran, Sabah kerana mengedarkan risalah dan memungut tandatangan untuk kempen kemerdekaan.

Sedih lagi apabila saya tidak membaca berita Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem membela kebebasan mereka yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Bagaimana mereka boleh buat tidak nampak ketidakadilan yang ditimpa ke atas saudara senegeri/sepulau mereka?

Mungkin ada yang salah faham pembelaan di sini bermaksud sokongan kepada tuntutan mereka untuk keluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Bela hak sekalipun tidak bersetuju pendirian

Ini dua perkara yang berbeza. Membela hak seseorang tidak bermaksud kita bersetuju dengan pendirian seseorang. Sebaliknya tidak bersetuju dengan pendirian seseorang itu tidak bermaksud kita boleh melucutkan hak mereka.

Sebagai contoh, kalaulah ada orang Kelantan cadangkan Kelantan keluar dari Malaysia jika kerajaan persekutuan enggan membenarkan negeri itu melaksanakan hukum jenayah syariah.

Saya tidak bersetuju dengan cadangan untuk laksanakan hukum jenayah syariah di Kelantan tanpa perbincangan dan pembahasan yang menyeluruh dan terbuka dan penggubalan perlembagaan yang baru.

Saya juga tidak bersetuju kemerdekaan Kelantan sesuatu yang menguntungkan Kelantan ataupun yang lain dalam Malaysia.

Tetapi, saya akan mempertahankan berhabis-habisan hak seseorang itu untuk memperjuangkan perlaksanaan hukum jenayah syariah di Kelantan atau kemerdekaan di Kelantan sungguhpun saya juga akan berbincang atau berbahas berhabis-habisan dengannya untuk mengubah pandangannya.

Penaakulan, bukan keganasan

Cara masyarakat beradab menangani perbezaan pendapat sememangnya berasaskan penaakulan (reasoning).

Kita berbincang secara rasional dan terbuka dan kemudian membuat keputusan mengikut kemahuan majoriti, kecuali perkara itu berkaitan dengan hak asasi manusia.

Ini berbeza dengan zaman purba - atau apabila puak-puak pengganas seperti Isis, Boko Haram, Khemer Merah, Nazi bermaharajalela di mana perbezaan pendapat diselesaikan dengan keganasan, ditentukan di medan peperangan atau bilik penderaan.

Dalam dunia purba, hujah yang menang bukan hujah yang paling munasabah, adil atau meyakinkan, tetapi hujah dipegang puak yang paling kuat dan paling kejam.

Melalui pilihan raya, undi dalam parlimen dan pungutan suara, demokrasi mendukung keamanan dengan menggantikan "pemancungan kepala" dengan "pengiraan kepala".

Maka, aktivis SSKM cuma harus ditahan jika mereka menyebarkan idea mereka dengan keganasan dan memaksakan matlamat perjuangan mereka ke atas orang lain.

Tetapi, daripada laporan media, mereka cuma mengedarkan risalah dan memungut tandatangan. Mereka tidak mengambil pistol atau pedang memaksa orang lain membaca risalah, bersetuju dengan mereka dan menurunkan tandatangan.

Dalam kata lain, mereka yang bersemuka dengan aktivis SSKM ini bebas menolak risalah dan borang tandatangan mereka.

Apakah pencapaian dan kejayaan yang dicapai Sabah dan Sarawak sejak 1963 akan kalah kepada sehelai risalah propaganda pemisah dalam hati rakyat Sabah dan Sarawak?

Apa dalam hati polis negara Malaysia yang sudah berumur 52 tahun itu rapuh (fragile) sekali, sampai boleh pecah berkecai kerana dilontar sehelai risalah tipis?

Ke mana perginya slogan "Sabah/Sarawak maju bersama Malaysia"? Ke mana perginya keyakinan kita terhadap negara kita sendiri? Kalau rasa bahagia siapa hendak cerai?

Polis berkewajipan memberitahu orang awam sama ada mereka mendapat maklum balas sememangnya ramai rakyat Sabah dan Sarawak sememangnya menyokong cadangan pemisahan?

Kalau tidak, "ancaman" ini ditangani dengan cara kekerasan, dan bukan cara politik? Bukankah pemimpin seperti Adenan sebelum ini menolak gagasan pemisahan anjuran SSKM ini sebagai "bodoh" kerana ia tidak memanfaatkan Malaysia Timur?

Apakah hujah pemimpin pro-Malaysia tidak diterima kebanyakan rakyat Sabah dan Sarawak?

Ramai atau kurang penyokongnya, kempen SSKM ini sebenarnya dugaan yang bakal membawa hikmah.

Di belakang tuntutan kemerdekaan itu ialah keluhan dan ketidakpuasan rakyat Sabah dan Sarawak tentang kemajuan, kebajikan dan kesejahteraan negeri mereka selama 52 tahun ini.

Kalau kita meneliti suara tidak puas hati ini dan mengambil langkah untuk menambahbaikkan persekutuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sehingga rakyat Sabah dan Sarawak yakin sekali masa depan paling cerah sebagai sebahagian dari Malaysia, sudah tentu golongan pemisah tidak ada pasaran langsung.

Kalau rasa bahagia, siapa hendak minta cerai? Itu sememangnya naluri manusia.

Kalau suami atau isteri kita marah dengan kita dan mengancam ingin bercerai, apakah tindakan kita? Dengar suara hatinya, jelaskan salah faham, saling memohon maaf dan cari pendamaian untuk sengketa lama dan baru? Ataupun kita menampar mukanya atau mengurungkannya dalam bilik sebagai amaran supaya dia jangan sekali-kali berani menimbulkan cadangan penceraian lagi?

Mana cara yang akan berjaya menjamin perkahwinan yang bahagia? Apakah keganasan rumah tangga itu kunci kebahagiaan perkahwinan? Ramai rakyat Sabah dan Sarawak merasakan "negara" mereka menjadi tanah jajahan Semenanjung kerana selepas 52 tahun, Sabah dan Sarawak masih mundur sungguhpun dikurniakan dengan pelbagai sumber manusia daripada minyak dan gas, sampai ke hutan rimba.

Ini asas hujah utama yang dieksploitasi golongan pemisah seperti SSKM.

Perasaan itu mungkin subjektif dan kurang berasas, tetapi ia tidak boleh dinafikan kewujudannya dengan mengemudikan kepala kita dalam pasir seperti burung unta.

Kalau kerajaan persekutuan dan negeri berpendapat keluhan sebegini adalah pembohongan sama sekali, kerana sememangnya Sabah dan Sarawak telah mendapat yang sebaik-baiknya, maka tunjuklah "bukti-bukti kebahagiaan" Sabah dan Sarawak, supaya rakyat negeri Borneo akan insaf dan bersyukur dengan apa yang mereka ada.

Sebaliknya, kalau sememangnya ada kekurangan dan eksploitasi dalam layanan Sabah dan Sarawak oleh kerajaan persekutuan, sekalipun belum sampai tahap penjajahan, maka paradigma hubungan persekutuan - negeri baru yang adil dan munasabah mesti diikhtiarkan supaya Sabah dan Sarawak akan mendapat layanan yang wajar dan adil, dan benar-benar "maju bersama Malaysia".

Hadapi tuduhan dan tuntutan SSKM dengan hujah, bukti dan cara penyelesaian adalah satu-satu caranya kita boleh memastikan kesinambungan Malaysia sebagai sebuah persekutuan yang berdasarkan kesukarelaan dan bukan paksaan.

Penangkapan aktivis SSKM sebenarnya cuma menyokong tuduhan mereka bahawa rakyat Sabah dan Sarawak dizalimi.

Kepada polis dan Kementerian Dalam Negeri, jangan cuba menuduh saya sebagai menyokong pergerakan pemisahan Sabah dan Sarawak.

Saya sama sekali tidak menyokong penceraian. Saya cuma menolak keganasan rumah tangga.

Tuduhlah saya dan rakyat Malaysia lain yang sama pandangan hanya jika kerajaan Datuk Seri Najib Razak yang kononnya menerajui kempen kesederhanaan global itu ingin menunjukkan kepada dunia bahawa baginya, "keganasan rumah tangga adalah satu-satu caranya untuk menyelamatkan sebuah perkahwinan". – 8 Februari, 2015.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...