Sunday, 22 March 2015

Anak muda Sabah, wajah baru desak Putrajaya hormat Perjanjian Malaysia

Mereka tidak tergolong dalam mana-mana parti politik, dan berumur antara 25 dan 32 tahun, keempat-empat lelaki yang didakwa menghasut di Kota Kinabalu Isnin lalu kini mewakili wajah orang muda yang berjuang untuk apa yang mereka percaya merupakan hak negeri yang hilang dalam Perjanjian Malaysia.

Mereka menghadapi tuduhan memiliki bahan menggesa Sabah dan Sarawak meninggalkan Malaysia ketika ditangkap di pasar minggu Tuaran pada 1 Februari.

Mereka ialah penganggur Azrie Situ, 25, dan Jemmy Liku Markus Situ, 32, mekanik Erick Jack William, 29, dan pemandu pelancong Joseph Kolis, 29.

“Begitulah trendnya di Sabah sekarang,” presiden Sabah Progressive Party (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee memberitahu The Malaysian Insider.

“Orang muda dari latar belakang berbeza yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik sekarang memperjuangkan isu yang biasanya diperjuangkan pembangkang."

Bekas ketua menteri Sabah itu berpendapat, trend itu berpunca daripada kesedaran yang meningkat di kalangan pemuda Sabah mengenai sejarah negeri mereka.

"Sejarah yang mereka mula pelajari sekarang tidak terdapat dalam buku teks sekolah. Apa yang mereka temui ialah kerajaan (persekutuan) yang terus-terusan dan terang-terangan tidak mempedulikan Perjanjian Malaysia," kata Yong ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, kesedaran itu kini bertukar menjadi kemarahan dan kebencian, serta menimbulkan keperluan untuk mereka berjuang menuntut hak mereka.

"Pada masa lalu, kerajaan boleh menyuakan kepada rakyat apa sahaja maklumat yang mereka mahu berikan kerana mereka mengawal TV dan radio, tetapi zaman Internet sekarang, ia makin sukar dilakukan.

"Dari Internetlah anak muda Sabah ini mula mengetahui tentang ketidakadilan yang diterima Sabah."

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh ketika memberi amaran ke Putrajaya supaya menjaga kebajikan rakyat Sabah di Parlimen pada Isnin, memberi kredit kepada dakwaan Yong apabila beliau mengatakan belia Sabah, termasuk anak-anaknya, tidak lagi membaca akhbar arus perdana kerana ia dianggap pro-kerajaan, dan sebaliknya memilih laporan berita atas talian.

"Orang tuduh Internet ini penuh dengan penipu. Tetapi belia ini berpendidikan tinggi! Mereka boleh membezakan pembohongan dengan kebenaran."

Empat mereka itu merupakan antara 9 yang ditahan polis di pasar itu – digelar Tuaran 9 oleh media tempatan.

Mereka didakwa dan dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dan seorang penjamin, sementara 5 yang lain dibebaskan dengan jaminan polis, tetapi tidak pasti jika mereka juga akan didakwa.

Menurut laporan, terdapat "ramai lagi" anak muda yang pergi ke pasar itu untuk menjayakan apa yang didakwa "kempen mengutip tanda tangan" memaksa Putrajaya menghormati Perjanjian Malaysia.

"Adakah satu hasutan mendapatkan tandatangan menuntut kerajaan pusat mengkaji semula Perjanjian Malaysia?" soal Joseph.

"Polis kata kami anggota SSKM (Sabah, Sarawak Keluar Malaysia). Mana mungkin, kerana SSKM ialah laman Facebook. Bagaimanakah kami boleh jadi anggota laman Facebook? Ia bukan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," kata Joseph.

Katanya, beliau menganggap penahanan mereka dan dakwaan yang dikenakan terhadap mereka di mahkamah satu "gangguan polis" terhadap mereka yang lantang mahukan perjanjian itu dikaji semula, dakwaan yang disokong bekas wakil rakyat BN Datuk James Ligunjang.

"Kami bukan puak pemisah dan tidak pernah berjuang untuk pemisahan," kata Joseph.

"Apa yang kami mahu hanya supaya Putrajaya menghormati Perjanjian Malaysia dan memberi kami autonomi sebagai sebuah negeri rakan kongsi yang sama rata dalam persekutuan.

"Kami berjuang untuk autonomi, autonomi penuh. Bukan pemisahan.

"Polis yang sebenarnya cuba kaitkan kami dengan kumpulan pemisah melalui laman Facebook."

Joseph berkata sekiranya polis tidak menyerang mereka, “kami boleh dengan mudah dapat 300,000 orang” menandatangani petisyen kajian semula itu.

“Senang saja, di kalangan orang muda di Sabah,” katanya.

Ligunjang, yang putus asa dengan politik BN dan kini bergerak sepenuh masa sebagai aktivis sosial, sedang berusaha mendapatkan sokongan untuk menekan Putrajaya supaya menghormati Perjanjian Malaysia. Katanya, beliau juga diserang pihak polis kerana usahanya itu. 

Beliau mendakwa polis bulan lalu menyita dan merampas kira-kira 31 pasang baju-T dengan perkataan "Hormati Perjanjian Malaysia" daripadanya di bandar Lahad Datu.

Cara polis mendakwa 4 mereka di mahkamah juga dipertikaikan.

Yong, seorang peguam, mempersoalkan mengapa kertas pertuduhan itu tertulis "Mahkamah Tanah Melayu" apabila ia sepatutnya dibuat atas borang Mahkamah Borneo memandangkan mahkamah Sabah dan Sarawak berada di bawah mahkamah Borneo.

Pada masa yang sama, keempat-empat lelaki itu mempersoalkan mengapa pihak polis memaklumkan mengenai keperluan mereka hadir di mahkamah melalui satu kertas nota yang diconteng.

"Mereka tidak ada notis yang elok kah?" soal Jeremy.

Didakwa mengikut Seksyen 4 (2) Akta Hasutan 1948, mereka menghadapi hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – 22 Mac, 2015.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...