Salam sejahtera dan salam
perpaduan kepada semua Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak yang
Merdeka dan Berdaulat. Saya Doris Jones mewakili sebuah Kumpulan sosial didalam
Facebook dengan nama Sabah Sarawak Keluar Malaysia yang kini sudah bergerak
dibawah naungan sebuah badan NGO yang berdaftar secara SAH dibawah bidang kuasa
Perundangan United Kingdom of Great Britain
and Northern Ireland (UK) iaitu Sabah Sarawak Union (UK) ingin membuat satu
kenyataan RASMI berhubung dengan Insiden Penahanan Sukarelawan-sukarelawan
SSKM-SSU(UK) di Daerah Tuaran yang bertarikh 1 Februari 2015.
Pihak kami telah dimaklumkan
bahawa penahanan oleh pihak polis terhadap sukarelawan-sukarelawati
SSKM-SSU(UK) pada jam 10.45 am adalah disebabkan oleh beberapa alasan.
Antaranya adalah kerana sukarelawan-sukarelawati telah memungut tandatangan dikalangan
orang awam bagi petisyen untuk menuntut hak-hak Bangsa Negara Sabah dan Bangsa
Negara Sarawak agar ia dikembalikan dan dihormati. Selain itu juga, mereka ditahan
atas sebab baju yang dipakai oleh sukarelawan-sukarelawati adalah berunsur
"kenegerian @ Sabahan".
Jumlah yang telah ditangkap adalah
seramai 9 orang yang mana 3 orang adalah daripada NGO SSKM-SSU(UK), 4 orang
daripada NGO Semangat Satu Perjuangan Rakyat (SSPR) dan 2 orang adalah
sukarelawan baru. Aktiviti memungut tandatangan petisyen ini adalah jalinan
kerjasama terbuka kepada semua orang yang menyokong perjuangan menuntut hak
Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Ia disahuti dengan sukarela
tanpa sebarang paksaan mahupun bayaran.
Berdasarkan maklumat yang
diterima pada waktu tengah hari bersamaan hari Ahad itu, telefon bimbit
sukarelawan-sukarelawati yang ditahan didalam balai polis tuaran telah dirampas
bagi tujuan siasatan. Tiga orang sukarelawati telah digari menggunakan "plastic
cuff".
Apa yang menyedihkan pihak kami
ialah pihak Polis telah melakukan tindakan tanpa mengikut prosedur yang betul. Mereka
dinafikan hak untuk mendapatkan peguam bela malah dipaksa untuk menurunkan
tandatangan yang menyatakan bahawa mereka bersetuju untuk didakwa dibawah akta hasutan 1948. Tambahan lagi penerangan
mereka telah dirakam. Selain itu, Pintu pagar utama balai polis Tuaran telah
ditutup dan kelihatan anggota-anggota FRU telah bersedia seolah-olah menganggap
pihak kami ingin merusuh ke dalam balai polis. Sebuah ambulans telah dipanggil
polis untuk datang sebagai persedian jikalau berlaku sebarang kekecohan yang
akan mendatangkan kecederaan.
Sokongan telah datang tanpa henti
malah jumlahnya semakin bertambah sejak tengah hari sehinggalah ke waktu
petang. Datuk Yong Teck Lee dan En.Amde Sidek telah dipanggil untuk memberikan khidmat bantuan guaman kepada 9 orang sukarelawan-sukarelawati namun kuasa guaman mereka telah dinafikan oleh seorang pegawai polis berpangkat Ch.Supt Fuad Bin Abdul Malik yang juga merupakan OCPD diluar pintu pagar balai polis
Tuaran.
Berlaku perdebatan diantara pihak
polis dengan penyokong yang telah datang. Pihak kami juga telah difahamkan
bahawa En.Hasmin Azroy telah diugut oleh pihak polis kerana didakwa mengganggu siasatan
polis. Apabila beliau menyoal pihak polis tersebut dibawah akta apakah mereka
ditahan, pihak polis tersebut dengan jelas mengatakan "Tiada akta".
Seterusnya En.Hasmin Azroy menjawab, jikalau tiada akta atas penahanan mereka,
mengapa mereka tidak dibenarkan untuk mendapatkan guaman dan ditahan
seolah-olah seperti penjenayah? Perdebatan terus berlangsung sehinggalah ke
waktu petang yang telah menyaksikan kehadiran penyokong perjuangan menuntut
hak-hak bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak telah meningkat
sehingga 80 orang. Yang turut hadir bersama dalam perdebatan pada waktu itu
juga adalah En.Jalibin Paidi yang merupakan Presiden NGO SSPR dan beberapa
penyokong perjuangan ini.
Datuk James Ligunjang dan juga
Datuk Kelakau Untol juga telah bergegas datang untuk memberikan sokongan. Yang turut
hadir juga untuk memberikan sokongan adalah En.James Steven, Dexter Chin dan Stephan Gaimin.
Kesemua 9
sukarelawan-sukarelawati telah dibebaskan dengan jaminan 18 orang penjamin yang
mana pihak polis telah meminta 2 orang penjamin untuk setiap tahanan. Mereka
telah dibebaskan pada jam 5.45 pm dan disambut dengan lagu Kebangsaan Negara
Sabah iaitu Sabah Tanah Airku.
Pihak kami juga difahamkan bahawa
pada 13 Februari 2015 ini, kesemua 9 orang sukarelawan-sukarelawati telah dikehendaki
untuk datang semula ke balai polis Tuaran untuk memberikan keterangan bagi
membantu siasatan.
Kesimpulan daripada insiden ini, pihak kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang telah bertindak menahan sukarelawan-sukarelawati ini dan tindakan mereka boleh ditafsirkan sebagai mengganggu aktiviti SSKM-SSU(UK). Penafian guaman kepada penahanan ini jelas membuktikan perlanggaran hak asasi.
Ingin pihak kami sampaikan mesej kepada kerajaan persekutuan tanah melayu (malaya) yang telah menyamar menjadi kerajaan persekutuan malaysia bahawa penahanan ini sedikit pun tidak akan membuatkan pihak kami berundur malah ia memberikan satu kekuatan lagi untuk berdepan dengan lebih baik jikalau insiden seumpama ini berulang lagi. Perjuangan ini tidak menyalahi undang-undang mahupun perlembagaan negara malah ia sebenarnya dilindungi.
Jikalau ia menyalahi undag-undang dan perlembagaan negara, sila nyatakan dengan jelas dan bawakan hal ini ke makhamah untuk diputuskan. Saya sebagai pengasas kepada perjuangan ini mencabar pihak kerajaan menyamar ini untuk memfailkan saman kepada saya di UK agar perkara ini dapat diputuskan untuk menentukan siapakah yang sebenarnya bersalah dan melanggar undang-undang serta perlembagaan. Sebarang dakwaan haruslah ditujukan kepada saya dan bukan kepada sukarelawan-sukarelawati. Perbuatan mendakwa mereka adalah satu bukti yang jelas bahawa kerajaan menyamar ini hanya mampu untuk membuli dan mengugut rakyat negara Sabah dan rakyat negara Sarawak agar berdiam daripada bersuara menuntut kebenaran dan hak yang sememangnya milik bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara Sarawak.
Sesungguhnya pihak antarabangsa sedang mengikuti segala perkembangan yang berlaku di negara Sabah dan negara Sarawak setiap hari.
Akhir kata, pihak kami daripada
SSKM-SSU(UK) ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua orang yang
terlibat dalam pembebasan sukarelawan-sukarelawati yang telah memungut
tandatangan petisyen untuk menuntut hak bangsa Negara Sabah dan bangsa Negara
Sarawak. Penyokong-penyokong kepada perjuangan hak yang telah hadir di balai Polis Tuaran telah
memberikan kekuatan semangat dan dorongan kepada perjuangan ini. Tidak lupa juga sokongan yang telah
diterima melalui media sosial iaitu didalam Facebook dan Whatsapp. Pihak kami
juga ingin memanjangkan penghargaan kepada pemberita yang datang untuk membuat
liputan berita ini.
Ribuan Terima Kasih Tidak
Terhingga pihak kami ucapakan sekali lagi!
1 comments :
Thanks
Post a Comment