Monday, 20 October 2014

Isu Sabah: Dengar dulu jangan ancam, kata MP

Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) menggesa kerajaan supaya tidak mengancam pihak yang meniupkan sentimen untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia.

Sebaliknya, beliau menyarankan kerajaan mendengar dahulu masalah yang dicetuskan oleh kumpulan intelektual yang mendakwa wujud ketidakadilan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

"Di Sabah kebelakangan ini kita nampak, dengar dan baca ada kumpulan-kumpulan intelektual yang terpelajar - mereka ini bercadang meminta Sabah keluar dari Malaysia.

"Ini kita tak boleh pandang ringan Datuk Speaker kerana mereka ini intelektual.

"Mungkin ada perkara-perkara yang mereka fikirkan Sabah tidak dapat - tidak ada pembahagian sama rata di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.


"Jadi kita nampak pemimpin, menteri datang mereka ini mengancam untuk mengambil tindakan.

"Ini cara dahulu, kita sudah maju kita tak mahu ancaman. Kita mahu kerajaan Persekutuan mendengar masalah mereka ini.

"Kita tak mahu apa yang disuarakan semuanya salah, dengar dahulu," kata Abdul Ghapur di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 21 September lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan agar masa depan negara tidak digadai demi agenda peribadi untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia.

Menyifatkan golongan itu sebagai 'tidak ada kerja lain selain berpolitik', beliau menggesa agar isu keselamatan Sabah dipertimbangkan dalam perkara itu.

Sebelum itu, pada 11 Spetember polis menahan tiga individu selama dua tahun di pusat pemulihan kerana mempunyai kaitan dengan usaha pihak tertentu untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ketiga-tiga individu terbabit adalah dua warga Malaysia, Abu Bakar Jayari dan Zainuddin Mislani dan seorang pendatang tanpa izin warga Filipina, Kassim Ibrahim.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...