Wednesday, 24 September 2014

Umno Sabah ‘hipokrit’ dalam zon selesa

Mereka yang menuruti kata-kata Putrajaya adalah sebagai “proksi, tali barut dan unsur-unsur jahat” kerajaan persekutuan.

KOTA KINABALU: Pemimpin-pemimpin Umno Sabah dituduh masih berada dalam “zon selesa” dan terus menuruti kata-kata persekutuan mengenai fakta sejarah yang diputar belitkan.

Situasi yang dilihat berlaku pada parti pemerintah di Sabah ini membuatkan Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor Jeffrey Kitingan mahu mereka untuk terus mempertahankan hak Borneo dan ‘tidak terus menjadi orang-orang hipokrit.”

“Kalau di khalayak ramai, mereka ini sama ada berdiam diri atau menuruti kata-kata Putrajaya mengenai sejarah pembentukan Malaysia,” kata Jeffrey yang bersetuju dengan kenyataan Presiden PRS James Masing, bahawa mereka yang memutarbelitkan sejarah mengenai Malaysia, harus didakwa dengan hasutan.

“Secara peribadi, mereka mengakui benar apa yang pihak pembangkang katakan mengenai fakta sebenar pembentukan di Malaysia dan hak-hak Borneo.”

Jeffrey, yang juga Ketua Star Sabah, menyertai James dalam menyatakan rasa tidak puas hati mengenai kata-kata persekutuan yang mengatakan Malaysia berusia 57 tahun tahun ini dan Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan sebagai negeri ke-12 dan ke-13. Sejarah sebenar adalah Malaysia berusia 51 tahun pada tahun ini, dan kedua-dua negara Borneo membantu membentuk persekutuan pada tahun 1963 sebagai rakan kongsi yang sama taraf dengan semenanjung,” katanya. “Fakta adalah tetap fakta.”

Jeffrey menggambarkan mereka yang menuruti kata-kata Putrajaya adalah sebagai “proksi, tali barut dan unsur-unsur jahat” kerajaan persekutuan. “Nasionalis adalah patriot dan bukan menjadi puak pemisahan atau pemisah.”

Beliau berharap, pemimpin Umno Sabah boleh melihat pemimpin-pemimpin Sarawak sebagai contoh dan tidak berasa malu untuk melakukan perkara yang betul untuk Sabah dan bukannya bertentangan dengan pendirian yang diambil oleh negeri jiran. Beliau menggesa mereka untuk keluar daripada kepompong dan tempat persembunyian dan memberitahu Putrajaya supaya tidak terus memutar belit fakta mengenai Malaysia dan hak Borneo.

“Mereka juga perlu bersuara membantah Putrajaya kerana mengancam rakyat Sabah yang mahu bersuara semula mengenai pembentukan Malaysia,” kata Jeffrey. “Jika tidak, ia dilihat sebagai satu pengkhianatan dan pembelotan apabila fakta sebenar diputarbelitkan.”

Pemimpin-pemimpin persekutuan perlu mendengar rungutan dan rasa tidak puas hati penduduk di negara-negara Borneo, tekan Jeffrey, dan “membetulkan fakta sebenar sejarah. Mereka hanya boleh melakukan ini jika pemimpin Umno Sabah tidak bersekongkol dengan Putrajaya mengenai isu-isu yang amat penting kepada negara-negara Borneo.”

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...