Wednesday, 10 September 2014

TINDAKAN MANIPULASI POLITIK PEMIMPIN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (MALAYA) TERHADAP SABAH SEJAK TAHUN 1963.

Akar kepada segala permasalahan yang dihadapi di Sabah sekarang ini, seperti kebanjiran pendatang tanpa izin, pemberian kewarganegaraan kepada orang asing, penyerahan kekuasaan kepada Kuala Lumpur, tanah adat tidak dihormati, penyerahan sebilangan besar kawasan tanah kepada agensi dan syarikat-syarikat dari Semenanjung yang turut melibatkan kawasan tanah adat, kemiskinan di Sabah dan sebagainya disebabkan oleh dua perkara;

1. Anak Negeri Sabah tidak memahami hak asasi sebagai rakyat dalam sebuah Negara merdeka.

Apabila Anak Sabah tidak memahami hak asasi ini, mereka mudah dimanipulasikan. Mereka juga mudah ditakut-takutkan dan dalam keadaan ini, pihak yang lebih superior begitu mudah meneruskan manipulasi mereka. Di antara contoh yang biasa berlaku adalah, apabila Pejuang Politik sejati Sabah menyuarakan tentang isu-isu hak Sabah, mereka dilabelkan sebagai memainkan sentimen kenegerian. Apabila Pejuang Politik sejati Sabah menegur isu-isu berkenaan dominasi Semenanjung terhadap jawatan-jawatan perkhidmatan awam dan peluang-peluang di Sabah, mereka dilabelkan sebagai anti-Semenanjung dan anti-Nasional. Apabila Pejuang Politik sejati Sabah menegur cara pengislaman kepada penduduk Sabah dengan cara yang tidak teratur ( seperti kes 1980an dan pengislaman pelajar sekolah di bawah umur tanpa pengetahuan ibu bapa ), mereka dilabelkan sebagai anti-Islam. 

Kemudiannya mereka ini dituduh bermain dengan isu sensitif dan anti kerajaan. Tohmahan demi tohmahan dan kutukan demi kutukan mereka lemparkan kepada Pejuang Politik sejati Sabah ini. Rakyat Sabah pula begitu mudah dipengaruhi dan menyebalahi pemimpin-pemimpin dari semenanjung ini. Di sinilah berlaku pertelingkahan sesama pemimpin Sabah. Pejuang Politik sejati Sabah pula terus lemas kerana kurangnya sokongan dari rakyat Sabah sendiri. Inilah akibatnya bila rakyat Sabah tidak memahami hak mereka sebagai sebuah Negara merdeka. Selagi Anak Negeri Sabah tidak memahami hak asasi mereka sebagai rakyat sebuah Negara merdeka dan selagi Anak Negeri Sabah melihat pemimpin Semenanjung itu sebagai superior, selagi itu Anak Negeri Sabah terus dihantui oleh ketakutan dan tidak dapat keluar dari kekuasaan kepenjajahan.

Sabah dan Sarawak sudah dimerdekakan oleh Kerajaan British sejak 22hb Julai 1963 dan 31hb Ogos 1963. Anak Negeri Sabah harus menghayati sejarah pembentukan

Malaysia yang meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai salah satu dari 13 buah negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Bermula dari penghayatan ini, Anak Negeri Sabah harus mampu memahami dengan jelas hak asasi sebagai rakyat dalam sebuah Negara merdeka. Dengan pemahaman ini, Anak Negeri Sabah sepatutnya tidak leka dan tidak mudah dimanipulasikan oleh mana-mana kuasa luar yang terus mengambil kesempatan terhadap kelekaan Anak Negeri Sabah.

2. Cita-cita dan sikap pemimpin Kuala Lumpur terhadap Sabah sejak dari awal rancangan Pembentukan Malaysia lebih tertumpu kepada mengambil kesempatan terhadap kekayaan sumber warisan Sabah.

Cita-cita dan sikap ini dimanifestasikan dengan tindakan-tindakan mereka terhadap Sabah sejak 1963 yang ditunjukkan dalam usaha berterusan mereka untuk memastikan mereka terus menguasai Sabah. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan penguasaan mereka terhadap akan berterusan dan semakin dimantapkan. Donald Stephens, ketua Menteri Sabah pertama yang menandatangani Perjanjian Malaysia tidak diberi peluang untuk memastikan aspirasi pemimpin Sabah yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) kerana bertentangan dengan cita-cita dan sikap pemimpin Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) ini. 

Mereka juga memperkenalkan dasar-dasar baru yang halus untuk menguasai minda Anak Negeri Sabah. Bermula dengan Dasar Integrasi Nasional sehinggalah ke Dasar Satu Malaysia, semuanya tanpa disedari oleh Anak Negeri Sabah telah melunturkan semangat patriotisma mereka terhadap hak-hak sebagai rakyat Sabah sehingga sumber kekayaan Sabah terus mengalir keluar ke Semenanjung. Semangat patriotisma ini dilabelkan pemimpin Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) sebagai sentimen kenegerian dan anti Semenanjung. Setiap ungkapan patriotisma Pejuang Sejati Sabah dituduh sebagai bermain dengan isu sensitif dan menentang kerajaan. Mereka berselindung di sebalik istilah “sensitif” dan istilah “kerajaan” untuk meneruskan agenda mereka mencapai cita-cita ini.

Dengan taraf pendidikan pemimpin Sabah ketika Pembentukan Malaysia, yang jauh lebih rendah daripada pemimpin Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) dan Singapura, dan Sabah dikatakan memerlukan masa 20 tahun untuk mencapai keupayaan untuk berdikari oleh Pesuruhjaya British di Singapura, pemimpin Sabah telah bergantung kepada Persekutuan Tanah Melayu (Malaya). 

Di antara tindakan kebergantungan pemimpin Sabah kepada Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) adalah dengan menerima Syed Kechik, Setiausaha Politik kepada Menteri Penerangan dan Penyiaraan Persekutuan Tanah Melayu, Senu Abdul Rahman yang dilantik oleh Tun Razak untuk ‘campur tangan’ dalam politik Sabah dengan bertindak sebagai penasihat. Syed Kechik juga telah dilantik sebagai Pengarah Yayasan Sabah yang pertama. Ketika Sabah masih bergantung kepada kepimpinan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), manipulasi politik oleh Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) terhadap Sabah telah berlaku secara berleluasa untuk mencapai cita-cita mereka;

1. Singapura disingkir dari Malaysia tanpa rundingan dengan Sabah dan Sarawak.

2. Konsep asal Malaysia telah diubah – dari ‘equal partner’ kepada satu dari 13

3. Kerusi Parlimen diubah berat sebelah menyebabkan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) mendapat lebih 2/3.

4. Ketua Menteri Sabah yang tidak akur kepada kehendak Kuala Lumpur digulingkan.

5. Penguasaan minyak diambil dengan tekanan.

6. Hasil dan cukai dipungut oleh Kuala Lumpur.

7. Konsep Perkongsian Kuasa Diubah - dari sama taraf kepada ‘internal colonization’

8. Manipulasi kependudukan – memberi Kad Pengenalan kepada pendatang asing

9. UMNO memasuki Sabah dengan memperdayakan USNO dan merampas kuasa.

10. Persempadanan Kerusi Parlimen dan DUN diubah berat sebelah.

11. Membawa Agensi Pertanian Persekutuan masuk ke Sabah tetapi “Borneosasi” tidak dilaksanakan.

12. Memeperkenalkan Dasar Perkapalan yang merugikan Sabah.

13. Rakyat Sabah dinafikan untuk mengetahui hak asasinya

14. Sistem Pecah dan Perintah diperhebatkan di Sabah.

Mari selamatkan Sabah dari terus dimanipulasikan oleh Kekuasaan Agenda Malaya sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Pihak-pihak yang berada dalam penguasaan Malaya sama ada PBS, UPKO, PBRS, LDP atau APS dan PPS tidak mampu mengeluarkan Sabah dari manipulasi ini kerana mereka lemas dalam Penguasaan Agenda Malaya. Ini kalilah orang Sabah perlu bersatu. 

Namun kita perlu jelas tujuan untuk bersatu; Bersatu kerana apa? Bersatu untuk apa? Bersatu untuk siapa? Bersatu untuk ke mana? Anak Negeri Sabah perlu bersatu kerana sekian lama kita diperlagakan oleh tangan-tangan ghaib pemimpin Persekutuan Tanah Melayu. Anak Negeri Sabah perlu bersatu untuk Memartabatkan Maruah Sabah Dengan Menuntut Kuasa Kemerdekaan dan Mempertahankan Hak-Hak Negeri Sabah. 

Orang Sabah perlu bersatu demi untuk generasi kita, memastikan mereka tidak akan menjadi pengemis dalam bumi Sabah. Anak Negeri Sabah harus bersatu sehingga kuasa autonomi politik dinikmati oleh Anak Negeri Sabah sepenuhnya. Anak Negeri Sabah harus bersatu untuk memastikan sumber dan kekayaan bumi Sabah dinikmati sepenuhnya oleh Anak Negeri Sabah. Anak Negeri Sabah harus bersatu untuk Agenda Borneo.

***Artikel ini ditulis oleh En.Nestor Joannes agar boleh dikongsikan kepada semua warga Negara Sabah terutama sekali Generasi Muda Negara Sabah***

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...