Saturday, 20 September 2014

'Republik Sabah hanya impian romantis'

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan tidak mudah Sabah dan Sarawak berpisah dari Malaysia selepas melalui pelbagai kemajuan dan pembangunan di bawah kerajaan sedia ada.

Beliau berkata Sabah kini berkembang menjadi negeri maju hingga rakyatnya dapat menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan yang dibawa kerajaan pusat sekali gus membuktikan keputusan bijak perjuangan pemimpin terdahulu yang membawa Sabah dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

"Republik Sabah atau Republik Rakyat Sabah, adalah satu impian romantis dan sedap didengar tetapi pada pandangan saya ia bukan sekadar bercakap secara emosi dan fakta semata-mata.

"Bukan mudah untuk Sabah keluar (dari Malaysia) kerana mereka hanya tahu bercakap keluar, selepas itu siapa jaga kita (Sabah), siapa tentera, bagaimana ekonomi, hubungan antarabangsa, inflasi dan kedudukan kita (Sabah) di mata dunia," katanya pada Program Bicara Tokoh di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, malam tadi.

Turut hadir Naib Canselor UMS Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.

Merujuk insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Abdul Rahman yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata peristiwa itu membuktikan kejayaan kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah itu termasuk mengerahkan Anggota Tentera Malaysia (ATM) menangani ancaman tersebut.

"Hujah saya Tanduo bukan kegagalan, tetapi Tanduo adalah contoh terbaik federalisme di negara ini," katanya.

Beliau berkata menerusi tindakan segera kerajaan menangani ancaman itu termasuk meletakkan aset keselamatan dan beberapa kapal ditempatkan di perairan Sabah bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak lagi berulang.

Sehubungan itu, anggota Parlimen Kota Belud itu mengingatkan rakyat Sabah, terutama golongan muda supaya berwaspada dengan pihak yang memainkan isu cubaan membawa Sabah keluar dari Malaysia.

"Isu Sabah dan Sarawak keluar Malaysia ini langkah drastik dan tidak bertanggungjawab kerana orang yang bercakap itu (dalang) berada di UK (Dorris Jones), yang sebaiknya datang sini dan beritahu kita, tetapi dia pakai alat kawalan jauh dan ia adalah tidak adil," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan mahasiswa khususnya UMS berfikiran terbuka dan berkeyakinan serta tidak merendah diri, sebaliknya bergerak pantas mengikut peredaran semasa bagi membawa pembangunan Sabah yang seimbang dengan negeri lain di Semenanjung.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...