KOTA KINABALU, 3 Sept (Bernama) -- Polis Sabah telah menubuhkan pasukan khas bagi menangani hasutan agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata semua ketua polis daerah (OCPD) akan disediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keharmonian terus wujud di negeri ini.
"Saya akan memantau Internet serta laman sosial termasuk kegiatan yang dilakukan kumpulan NGO dan persatuan tidak didaftar atau berdaftar yang cuba membuat perhimpunan dan perkara yang tidak mengikut Akta Perhimpunan Aman demi keselamatan, keharmonian dan keselamatan rakyat Sabah," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata pasukan khas itu turut melibatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti pemilik akaun laman sosial khususnya Facebook yang mengeluarkan kenyataan berkenaan.
Mengenai kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin bahawa polis telah mengenal pasti individu yang mengeluarkan kenyataan untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia, beliau berkata individu itu berkemungkinan dari Sabah dan tidak menolak dia bermaustatin di tempat lain.
"Kita akan mendapat maklumat dari SKMM, maklumat (kenyataan) itu dari rakyat Sabah dan lain-lain lagi masih dalam siasatan. Apa yang penting kita cari saksi dan pemilik akaun itu," katanya.
Dalam pada itu, Jalaluddin berkata pihaknya menerima satu laporan polis semalam berhubung terdapat kumpulan yang aktif menyampaikan gerakan membawa Sabah keluar dari Malaysia termasuk sebuah yang menggelarkan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) menerusi laman sosial seperti blog, Facebook dan Tweeter.
Katanya satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan berhubung tindakan kumpulan dan NGO terbabit yang juga didakwa aktif menyampaikan kempen dan mengedar risalah berbaur hasutan di kampung dan kawasan pedalaman Sabah.
"Polis telah merakam percakapan pengadu dan mengambil keterangan saksi lain untuk menegakkan siasatan.
"Apa yang penting saya akan mencari siapa yang melaksana kempen-kempen itu kerana sumber dari Internet dan blog yang mereka cetak, menunjukkan kumpulan itu memasuki kampung dan pedalaman berjumpa golongan tua dan muda adalah tidak bagus dan meracuni pemikiran rakyat," katanya.
Sehubungan itu Jalaluddin meminta masyarakat khususnya di Sabah agar tidak terpengaruh dengan khabar angin berkaitan isu tersebut bagi mencegah sebarang perbuatan yang boleh memudaratkan keselamatan serta memecah-belahkan perkauman dan agama di negara ini.
"Saya juga menasihatkan agar (pihak) jangan meracuni pemikiran rakyat terutama golongan remaja kerana isu keselamatan dan ancaman boleh mengugat kestabilan ekonomi dan keharmonian negara," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan berusaha untuk mengumpulkan bukti dan fakta yang berkaitan untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan selain meminta orang ramai dan saksi tampil memberi kerjasama serta maklumat kepada polis.
-- BERNAMA
0 comments :
Post a Comment