Thursday, 18 September 2014

Perjuangan Gerakan SSKM dan pembangunan pendidikan di Sabah dan Sarawak – Firdani As-Sandakani

Genap 51 tahun penubuhan Malaysia yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu dan dua buah negeri di Borneo iaitu Sarawak dan Borneo Utara atau dikenali sebagai Sabah sejak tahun 1963.

Bermula pada tahun itu, pelbagai ancaman dan ugutan termasuklah konfrontasi diberikan dua buah negara jiran yang mempunyai agenda tersendiri, iaitu Indonesia dan Filipina.

Sejarah melakarkan segalanya. Walau bagaimanapun, ancaman tersebut berjaya ditepis pemimpin Malaysia dengan bijak dan cermat di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, perdana menteri Malaysia yang pertama.

Kemakmuran akhirnya berjaya dikecapi semua rakyat Malaysia setelah tamat zaman-zaman cemas dahulu.
Namun demikian, sejak akhir-akhir ini, wujud sebuah gerakan yang menuntut supaya dua buah negeri di Borneo, Sabah dan Sarawak berpisah daripada Malaysia yang dikenali sebagai gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).

Antara matlamat utama gerakan ini ialah menuntut supaya Perkara 20/18 dipatuhi dan Sabah dan Sarawak dikembalikan statusnya sebagai sebuah ‘Negara’ seperti sebelumnya tetapi hakikatnya dua buah negeri tersebut tidak pernah diberikan kemerdekaan melainkan setelah menyertai gagasan Malaysia sepertimana yang dikehendaki British ketika itu.

SSKM cuba membawa isu ini ke Mahkamah Antarabangsa (ICJ) tetapi, seperti yang diketahui, perkara ini tidak membawa kejayaan kerana kerajaan Malaysia sebagai pihak yang terlibat tidak mengambil peduli akan perkara tersebut.

Tambahan pula, jika diperhatikan, gerakan ini tidak disertai sebilangan besar rakyat di Sabah dan Sarawak melainkan bolehdikatakan hanya segelintir sahaja yang berminat dengan gerakan ini dan turut disokong beberapa parti politik yang baru sahaja ditubuhkan.

Bahkan, jika diperhalusi kebanyakan mereka yang menyertai atau menyokong gerakan ini bukanlah kerana kefahaman yang jelas tentang perjuangan tersebut tetapi lebih terpengaruh dengan sentimen kenegerian dan emosi semata-mata.

Propaganda semangat kenegerian dan anti-Malaya begitu rancak dimainkan tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi masyarakat majmuk di Malaysia ini.

Hakikatnya, jika ditelusuri semula sejarah penubuhan Malaysia, British merupakan kuasa besar yang menjadi tulang belakang yang mengetengahkan gagasan Malaysia kerana ingin menjaga kepentingan mereka di Borneo dan yang paling penting, untuk menyekat penyebaran fahaman Komunis yang pada ketika itu daripada semakin berkembang di kepulauan Melayu.

Lalu persoalannya, bagaimana pula gerakan tersebut meminta supaya negara kuasa besar iaitu British untuk campur tangan sedangkan penubuhan Malaysia merupakan agenda British suatu ketika dahulu?

Rata-rata rakyat Malaysia berpendapat usaha yang paling utama untuk membangunkan negeri Sabah dan Sarawak yang dianggap masih mundur, terutamanya di kawasan pedalaman adalah dengan memberikan pendidikan yang sepatutnya kepada penduduk di kedua-dua buah negeri tersebut.

Melalui pendidikan yang sempurna, rakyat di Sabah dan Sarawak dapat membangunkan negeri masing-masing dengan ilmu dan kemahiran yang dimiliki.

Dari segi politiknya pula, cara terbaik untuk memperbaiki keadaan di negeri Sabah dan Sarawak adalah dengan menggantikan parti yang menjadi kerajaan di negeri tersebut melalui pilihanraya umum.

Pendidikan yang sempurna akan melahirkan kefahaman dan melalui kefahaman yang benar sahajalah yang dapat membantu rakyat untuk memilih parti yang selayaknya diberi mandat untuk menerajui kerajaan negeri.

Persoalan utama yang perlu diketengahkan dalam isu Sabah Sarawak keluar daripada Malaysia ialah persediaan untuk mendirikan sebuah negara yang merdeka dalam segala aspek termasuklah politik dan sosial.

Sedangkan isu keselamatan negeri Sabah pun masih belum dapat diselesaikan apatah lagi nanti sekiranya Sabah menjadi sebuah negara merdeka.

Hakikatnya, bukan mudah untuk mendirikan sebuah negara yang berdaulat apatah lagi dalam konteks Sabah dan Sarawak.

Sebagai kesimpulan, usaha memberi kesedaran politik kepada masyarakat tempatan adalah amat perlu tetapi daripada menggerakkan perjuangan menuntut sebuah ‘Negara’, kenapa tidak perjuangan tersebut digantikan dengan memberikan peluang pendidikan kepada rakyat negeri sendiri? Ini adalah masa untuk memperkasakan negara yang sedia ada, bukan masa untuk memecahbelahkan kesatuan dengan menyemarakkan sentimen bangsa.

Goerge Santayana pernah berkata, “seseorang yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya”. Lalu, perlukah sejarah lalu diulangi kembali sebagaimana suatu ketika dahulu yang melibatkan pengorbanan nyawa yang tidak terhitung? – 17 September, 2014


***Pihak SSKM akan memberi respon terhadap artikel ini. Harap semua pihak bersabar***

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...