Wednesday, 17 September 2014

'MADE IN MALAYA' DI SABAH

Oleh : NASPAZI

SEJAK penubuhan Malaysia ditandatangani pada 9 Julai 1963 dan selepas pemasyhuran penggabungan rasminya pada 16 September 1963, Sabah sudah mula pesat membangun dengan pembiayaan pendidikan yang diutamakan serta percuma.

Kekayaan dan kemewahan Sabah juga melimpah, walaupun hasil bumi belum diteroka sepenuhnya dalam konteks era 70-an atau di zaman pemerintahan USNO.

Tetapi, pasca USNO Sabah sudah mula menjunam ke dalam gaung kebodohan muktamad yang dipaksakan ke atasnya oleh Malaya dalam konteks dan senario hanya menjadi barua kuda tunggangan kepada regim Malaya, yang sudah lebih dari tiga puluh tahun telah berlalu dan apa yang Sabah dapat sekarang hanyalah bacaan kemiskinan dan keaiban mutlak.

Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens adalah pengasas kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963. Selepas dua minggu Sabah mengisytiharkan kemerdekaannya, Sabah bersama-sama dengan Malaya, Singapura dan Sarawak telah membentuk Malaysia (bukan masuk Malaysia) pada 16 September 1963. Dalam erti kata lain, tanpa Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens Malaysia tidak terbentuk atau Malaysia tidak wujud.

Namun begitu, pada tahun 1975 Tun Razak telah mendesak Tun Mustapha untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah, sebab Tun Mustapha  telah menolak atau tidak bersetuju dengan pulangan royalti minyak 5% kepada Sabah yang dicadangkan oleh Tun Razak.

Tetapi, Tun Mustapha bukan sahaja enggan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah, bahkan menuntut Tun Razak untuk memberikan pulangan royalti minyak 45% kepada Sabah, dengan alasan Sabah memerlukan wang yang banyak untuk membiayai pendidikan dan pembangunan.

Tatkala Tun Mustapha enggan meletak jawatan, Tun Razak telah bertekad untuk menjatuhkan Tun Mustapha dan USNO. Yang demikian, Tun Razak telah menubuhkan parti BERJAYA untuk mencabar USNO.

Seterusnya, Tun Razak telah mengarahkan Tun Fuad Stephens dan Tan Sri Harris Salleh untuk memimpin parti BERJAYA bagi menentang USNO dan Tun Mustapha.

Mereka juga telah melancarkan pelbagai bentuk tuduhan fitnah jahat terhadap Tun Mustapha sebagai seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab, kejam dan bercadang untuk melantik dirinya sendiri sebagai Sultan Sabah.

Ekoran dari itu, Tun Mustapha dan USNO kalah juga akhirnya. Lantaran kekalahan USNO kepada BERJAYA pada 14 April 1976, maka bukan sahaja royalti minyak 5% kepada Sabah ditandatangani, bahkan telah mengakibatkan kepada penyerahan besar-besaran hampir seluruh jabatan kerajaan negara Sabah termasuk Pulau Labuan kepada Malaya atas nama demi ‘Kerajaan Pusat’ dan ‘Integrasi Nasional’ apanama kononnya.

Yang demikian, ia merupakan awal mula kepada penghancuran peradaban Sabah bermasyarakat, berkerajaan, bernegara dan akhirnya Malaya telah menjatuhkan status negara Sabah kepada status negeri pada 27 Ogos 1976 dan ternyata rakyat Sabah hanya mengangguk sahaja.

Mengapakah rakyat Sabah hanya mengangguk sahaja kepada kemahuan, pelanggaran dan pencabulan mutlak Malaya terhadap ‘Perjanjian 20 Perkara’ dan ‘Perjanjian Malaysia 1963’ yang menjadi prinsip dasar kepada pembentukan Malaysia?

Jawapan mudahnya adalah kerana Sabahan telah dilanda badai kekaburan jati diri dan identiti nasional atau sudah bankrap nasionalisme.

Sesungguhnya, kekaburan jati diri, identiti nasional dan kebankrapan nasionalisme Sabahan, sama ada menggunakan alasan atas kehendak zaman atau hanya satu bentuk pengkhianatan kepada jati diri dan identiti nasional leluhur Sabahan silam, yang nyata telah mengakibatkan kepada kecairan dan kehancuran jati diri dan identiti nasional Sabahan sendiri, lantaran diasimilasikan ke dalam identiti nasional Melayu baru dan nasionalsme Malaya atas nama Malaysia.

Sabah Dilanda Kekaburan Identiti

Betapa, identiti nasional sering dianggap sebagai keadaan semula jadi dan anugerah Tuhan. Tetapi, benarkah begitu dalam situasi cabaran dunia moden? Pendekatan pemikiran dalam konteks dunia moden atau masa kini, begitu melihat identiti nasional sebagai pembinaan sosial. Dalam erti kata lain, identiti nasional boleh dibangun, dihancur dan dibangunkan semula.

Menurut David Campbell (1998), identiti nasional tidak bersifat baku, kekal atau tetap, tetapi relatif dan mengalir. Justeru, pengembaraan untuk mencari identiti nasional tidak pernah mencapai ke titik akhir kerana bersifat berterusan.

Yang demikian, David Campbell percaya, bahawa setiap orang tidak boleh mengecualikan dirinya dari proses pembinaan identiti nasional yang dimaksudkan.

Lantaran itu, nasionalsme dalam konteks negara moden memainkan peranan yang amat penting untuk membina identiti nasional atau jati diri bangsa.

Negara-negara moden yang merdeka dan berdaulat dengan serius dan dedikasi, tekun dan setia membina identiti nasional mereka sebagai bangsa yang wujud melalui pelbagai cara, tetapi saluran yang paling nyata adalah menerusi adat dan budaya, tradisi dan warisan identiti nasional leluhur silam mereka, yang disampaikan kepada generasi ke generasi berikutnya melalui pendidikan, sama ada dalam bentuk pendidikan formal mahupun tidak formal.

Sehubungan itu, dalam usaha membina identiti nasional, sering dibandingkan dengan negara luar atau masyarakat luar, contohnya masyarakat Eropah, Afrika, India, Arab dan China.

Lantaran itu, nasionalisme merupakan proses pembinaan identiti nasional. Dengan kata lain, dalam proses membina identiti nasional adalah perjuangan 'counter narrative' terhadap makna dari penjajahan dan penaklukan atau exploitasi dan penindasan.

Dalam wacana politik penjajah, sejarah panjang eksploitasi dan penindasan telah melahirkan kesedaran baru bagi membina identiti nasional baru kaum terjajah. Namun begitu, rakyat Sabah (Sabahan) masih belum atau enggan menyedarinya.

Dalam erti kata lain, identiti nasional baru kaum terjajah bermaksud pembebasan, kemerdekaan, kedaulatan dan pengwujudan sosial. Oleh itu, berdasarkan kepada kesedaran tersebut, maka projek nasionalisme telah dibangunkan untuk membentuk sebuah negara bangsa yang berdiri bersama dengan bangsa-bangsa yang telah merdeka dan berdaulat di persada dunia.

Cabaran Kedaulatan Identiti Sabah

Menurut Eric John Ernest Hobsbawm (1991), gerakan nasionalisme telah melahirkan bangsa, dan bukan bangsa yang melahirkan nasionalisme.

Justeru, nasionalisme adalah projek membina identiti nasional sebagai applikasi dari promosi kemerdekaan dan kedaulatan bermasyarakat, bernegara dan berkerajaan yang akhirnya akan melahirkan identiti nasional baru sebagai bangsa baru, dalam erti kata keluarga baru masyarakat sejagat.

Justeru, dalam konteks masa kini atau dalam konteks Sabah keseluruhannya sekarang, bagaimanakah cendekiawan dan pemikir politik Sabah dapat mengimplementasikan gagasan identiti nasional dan projek nasionalisme oleh David Campbell dan Eric John Ernest Hobsbawm ke dalam susun atur dan urus tadbir Sabah?

Selanjutnya, bagaimanakah identiti nasional leluhur Sabah boleh dipertahankan agar dapat dihantar kepada generasi yang akan datang dengan selamat?

Sedia maklum, bahawa identiti nasional Sabah sedang dikepung dari segala penjuru dan sudut pemusnahan, dan pemusnah terbesar identiti nasional Sabah adalah agenda jahat melayu baru Malaya.

Maksud agenda jahat melayu baru Malaya dalam konteks Sabah adalah merujuk kepada apa yang dijalankan oleh mereka dalam bentuk operasi pemberian IC Projek kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), yang datang dari pelbagai negara atas alasan demi Islam kononnya.

Sehubungan dengannya, tidak syak lagi, bahawa ia merupakan ancaman terbesar kepada kehancuran identiti nasional Sabah, dan sekaligus sebagai wajah baru penjajahan dan penindasan Malaya terhadap Sabah, yang tendensinya adalah neo-imperialisme Malaya yang dibangun di atas puing-puing runtuhan kehancuran identiti nasional Sabah, yang juga ada kaitan dengan sikap pengamal politik Sabah sendiri yang bankrap nasionalisme.

Justeru, para pengamal politik Sabah sekarang yang menjadi talibarut kepada parti-parti politik ‘Made In Malaya’ di Sabah adalah sinambung kepada proses pemusnahan total peradaban Sabah dalam segala bidang kehidupan sepanjang zaman.

Sesungguhnya, kehancuran identiti nasional Sabah dari tendensi IC Projek Malaya tidak dapat tidak akan membinasakan generasi Sabahan yang akan datang.

Lantaran itu, IC Projek  Malaya di Sabah adalah perbuatan yang paling sadis, suatu serangan yang paling kejam terhadap generasi Sabahan yang akan datang, yang juga mungkin paling diingati dalam sejarah Sabah zaman-berzaman.

Dalam erti kata lain, IC Projek adalah plot terbesar ekspedisi Malaya untuk menghancurkan identiti nasional Sabah, yang bagi saya ia akan meninggalkan penyesalan abadi.

Justeru, pengamal politik Sabah, yang mendewa-dewakan parti-parti politik ‘Made In Malaya’ di Sabah, yang mendaulatkan ketuanan Malaya di Sabah, secara benarnya mereka adalah pencipta-pencipta menu dari makanan iblis untuk dihidangkan kepada generasi Sabahan yang akan datang.

Yang demikian, dalam paradigma ringkas ini, saya ingin menegaskan, bahawa kemakmuran dan kesentosaan Sabahan bermasyarakat, bernegara dan berkerajaan sendiri tidak boleh datang dari luar.

Oleh itu, Sabahan tidak boleh tidak, mesti belajar untuk memahami perjuangan politik sendiri, yang membolehkan Sabahan mengumpul kekuatan pada kekuatan idealistik seluruh Sabah.

Selama ini, Sabah sudah terlalu banyak membuat pengorbanan demi kewujudan dan keamanan Malaysia, tetapi pengorbanan Sabah tidak pernah dihormati untuk dihargai, melainkan menambah koleksi kepentingan Malaya di Sabah dengan mencabul Perkara 20 dan mengkhianati Perjanjian Malaysia 1963.

Yang demikian, Malaya bukan lagi ‘Rakan Kongsi Sama Taraf’ dalam Malaysia, melainkan penyangak yang tidak bertanggungjawab dalam Malaysia.

Lantaran itu, Perjanjian Malaysia telah menjadi ikrar yang patah; janji yang patah secara besar-besaran. Ikrar dan janji yang tidak pun dipenuhi akhirnya, dan apa yang Malaya telah lakukan kepada Sabah? Sabah dirompak, Sabah dieksploitasi sehingga menjadi termiskin dalam Malaysia.

Dalam erti kata lain, pencabulan dan pengkhianatan Malaya terhadap Perkara 20 dan Perjanjian Malaysia, tidak syak lagi, ia adalah penganiayaan terbesar dan paling keji terhadap ‘Kedudukan, Hak dan Masa Depan Sabah’ dalam pembentukan Malaysia.

Oleh itu, jika Sabah mahu menggapai impian kemenangan muktamad di langit harapan baru kedaulatan bernegara, maka seluruh nasionalis Sabah hendaklah bergabung menjadi satu unit tunggal yang baru. Seluruh rakyat Sabah juga hendaklah bersatu dalam konteks mengatasi semua prasangka agama dan kaum.

Akhirnya, seluruh rakyat Sabah harus sedar akan fakta, bahawa tugas untuk mempertahankan identiti nasional dan membina semula harapan baru Sabah yang dinamik dan sentosa, tidak lain dan tidak bukan adalah tanggungjawab pelangi citra hati nurani para genius dan cendekiawan, negarawan dan nasionalis yang hebat sepanjang zaman; atas kehendak bersama seluruh rakyat Sabah dengan jujur dan setia kepada tradisi leluhur Sabahan silam untuk dihantar kepada generasi Sabahan yang akan datang dengan selamat.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...