Tuesday, 9 September 2014

"Jeffrey Sambut Baik Saranan Bertemu Dengan Putrajaya Berhubung Isu Pemisahan"

Kota Kinabalu: "Cara terbaik untuk menghentikan seruan untuk pemisahan atau perpisahan yang semakin lantang adalah dengan menghadapii dan mencari penyelesaiannya" kata Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menyahut kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri supaya Putrajaya bersemuka dengan "Pemisah". Nama Jeffrey telah disebut secara khusus dalam kenyataan Timbalan Menteri itu.

"Inilah masanya Kerajaan Persekutuan menyelesaikan rasa tidak puas hati di sebalik laungan untuk pemisahan/pengasingan/hak-hak Sabah Sarawak... Semua isu-isunya adalah sama tetapi laungan menjadi lebih kuat dan lantang setelah kekecewaan ini diabaikan terlalu lama," jelas Jeffrey yang merupakan bekas tahanan ISA pada 1990 kerana membangkitkan isu hak-hak Sabah dalam Dua Puluh Perkara sebagai pra-syarat menyertai pembentukan Malaysia. Ketika itu Jeffrey telah mempersoalkan mengapa kerajaan persekutuan melayan kerajaan PBS yang dipilih secara demokrasi, begitu teruk. Akibatnya, Jeffrey telah dilabel sebagai "pemisah".

Hari ini, seruan "pemisahan" semakin mendapat momentum di dalam dan luar Malaysia kerana kerajaan telah mengabaikan laungan untuk keadilan selama 50 tahun. Malah, keadaan menjadi semakin buruk apabila tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan Kuala Lumpur terhadap negeri-negeri di Borneo lebih cenderung untuk mengukuhkan kebimbangan bahawa hasrat sebenar Kuala Lumpur selama ini adalah untuk mengambilalih Sabah/Sarawak, menjajah kembali, menakluki dan mengeksploitasi sumber minyak mereka .. tindakan seperti mendesak menyerahmilik hak minyak, menentukan penggiliran jawatan ketua menteri, mengubah demografi Sabah melalui apa yang dikenali sebagai "Projek IC Mahathir"; penurunan taraf status Sabah dan Sarawak menjadi negeri-negeri Tanah Melayu ke-12 dan ke-13; penahanan aktivis-aktivis dan pemerintahan secara langsung Kuala Lumpur melalui UMMO.

Membincangkan dan mempersoalkan kerajaan persekutuan dan Sabah mengenai ketidakpuasan hati ini bukan sahaja mendapat respon negatif tetapi juga mempersoalkan kesetiaan mereka kepada negara. Sekarang, mereka yang meluahkan ketidakpuasan hati ini dengan mudah dilabelkan sebagai "pemisah", kata Jeffrey. 

Jadi, sudah tiba masanya untuk mereka yang berkuasa untuk turun padang dan mendengar. Ya, dengar dan tangani kekecewaan-kekecwaan ini sebelum terlambat.

Perdana Menteri mestilah serius mengenai perkara ini. Redakan keadaan  dan rethorik serta bertindak pantas menubuhkan satu mekanisme kebangsaan untuk menangani rasa tidak puas hati ini.

Jangan terus abaikan dan ketepikan masalah-masalah ini. Seruan untuk mengkaji semula Perjanjian Malaysia perlu dihormati dan diterima dengan niat yang baik.

Jangan berkata "APA mau review review ..." seperti jawapan yang saya terima apabila bangkitkan perkara itu didalam Dewan Undangan Sabah baru-baru ini.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...