Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diasaskan di Kota Marudu, Sabah sempena sambutan ulang tahun ke-51 penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 2014.
Mungkin sahaja kewujudan Momogun Movement for Self-Determination (Mosik) tidak membawa apa-apa makna kepada rata-rata penduduk di Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu).
Bagaimanapun, hasil penelitian sejak awal bulan ini, saya mendapati Mosik mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat “Momogun” iaitu “Orang Asal Sabah”.
Saya berpeluang mendapatkan maklumat daripada rakan saya, Daniel Jebon Janaun yang mengasaskan serta menggerakkan Mosik.
Menurutnya, Mosik diwujudkan demi perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat selaras Perkara 20 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC dan Perjanjian Malaysia 1963, serta jaminan dan persetujuan asal dalam penubuhan Malaysia.
Seperti yang dapat diduga, perjuangan nasionalis dan negarawan seperti Daniel dan Doris Jones pasti mendapat liputan negatif daripada mana-mana media yang dijadikan alat propaganda kuasawan dan politikus.
“Regim Malaya dan tali barutnya memberikan gelaran ‘pemisah’ kepada para pejuang dan nasionalis negara Sabah dan Sarawak. Apakah tujuan Regim Malaya berbuat demikian sedangkan perjuangan kami sangat berasas. Di mana letaknya kewajaran gelaran ‘penghasut’ yang diberikan?”
Demikian tanya Daniel, individu berumur 47 tahun yang melepaskan jawatan kerajaan pada awal Mac 2013 untuk berjuang bagi memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara.
Secara sinis tetapi berani, lelaki daripada etnik Kadazan (Kimaragang) ini mengatakan, memandangkan Regim Malaya menggelarkan mereka “pemisah” dan “penghasut”, maka mereka tidak gentar untuk benar-benar menjadi seperti yang dituduh.
Mungkin ramai yang tidak tahu – serta tidak mengambil tahu – tetapi suara-suara menuntut hak dalam kalangan penduduk asal Sabah dan Sarawak semakin lantang, serta semakin sukar dikawal.
Baru-baru ini, media melaporkan polis sedang “memburu” Doris iaitu pengasas gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM). Wanita itu juga ternyata sedikit pun tidak gentar dengan ugutan, amaran dan tuduhan yang dilemparkan kuasawan dan politikus.
Memahami perjuangan Mosik, SSKM
Segala perkembangan ini menunjukkan orang ramai di Sabah dan Sarawak sudah semakin berani bangkit bersuara; bukan hanya pada peringkat tempatan (Sabah/Sarawak) dan nasional (Malaysia), tetapi juga pada peringkat antarabangsa.
Banyak fakta yang tidak diketahui umum mengenai pembentukan Persekutuan Malaysia (1963).Banyak fakta yang tidak diketahui umum mengenai pembentukan Persekutuan Malaysia (1963).“Apabila Regim Malaya menangkap pejuang dan nasionalis, maka bermulalah revolusi kebangkitan rakyat untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai negara berdaulat,” kata Daniel yang sedang dalam proses menerbitkan buku berjudul ‘Sabah Sebuah Negara’.
Apakah sebabnya penduduk Sabah dan Sarawak tidak berpuas hati? Soalan ini amat perlu ditanya bagi mendapatkan jawapan dan penjelasan yang benar dan tepat.
Menurut Daniel, menerusi pembentukan Persekutuan Malaysia (16 September 1963), Sabah dan Sarawak sebenarnya diturunkan taraf daripada “negara” yang merdeka dan berdaulat menjadi “negeri” yang berada di bawah kuasa Malaya (Tanah Melayu; Semenanjung Malaysia).
“Sejak tarikh 27 Ogos 1976, Sabah dan Sarawak dinafikan hak sebagai rakan kongsi sama taraf dengan Malaya; sebaliknya sekadar menjadi negeri ke-12 dan ke-13.
“Hari kemerdekaan Sabah (31 Ogos 1963) dan Sarawak (22 Julai 1963) tidak diiktiraf, malah dilupakan dan langsung tidak diajar di sekolah,” Daniel yang saya kenali sejak tahun 1990-an menghuraikan dengan sedih.
Penerangan yang diberikannya amat penting serta membantu saya lebih memahami perjuangan kumpulan yang bernaung di bawah SSKM dan Mosik.
Sama ada berjaya atau tidak, patut atau tidak patut, menghasut atau menderhaka bukanlah soal utama di sini.
Apa yang lebih penting adalah kita berpeluang untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku dan mengapa ada pihak yang bangkit berjuang menuntut kemerdekaan Sabah dan Sarawak selepas lebih 50 tahun pembentukan Persekutuan Malaysia.
Selain Kelantan yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai negeri paling miskin, Sabah juga sudah dimiskinkan walaupun “Negeri di Bawah Bayu” itu sebenarnya amat kaya.
Bagi mewajarkan perjuangan Mosik, Daniel menekankan kekayaan bumi Sabah dijarah, dikaut dan dibawa ke Malaya sehingga ahkhirnya wujud kemiskinan yang tinggi dan kitaran ganas kemiskinan di Sabah.
Membetulkan, menyelamatkan Malaysia?
“Artikel 4 Perjanjian Malaysia yang menyatakan kesemua terma dalam perjanjian dan usaha untuk jaminan yang dibuat dalam pembentukan Malaysia harus dilaksanakan oleh empat negara, iaitu United Kingdom (Britain), Malaya, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Tetapi ia tidak dihormati dan dipatuhi,” beliau mengulas.
Tindakan kerajaan pusat mengaut dan merampas hasil minyak dan gas Sabah dan Sarawak menerusi Petronas juga diselar Mosik kerana perbuatan itu sebenarnya bukan dalam bidang kuasa kerajaan pusat.
Meletakkan tarikh kemerdekaan Malaysia pada tanggal 31 Ogos 1957 juga tidak dipersetujui penduduk Sabah dan Sarawak khasnya dan penduduk Malaysia amnya yang celik sejarah.
“Sabah dan Sarawak kehilangan kuasa autonomi dan individualiti. Apa yang ada hanyalah dominasi Malaya terhadap kami. Kerakyatan diberikan kepada pendatang asing yang tidak layak sehingga orang asal Sabah (Momogun) menjadi minoriti.
“Sesungguhnya Mosik akan tetap memperjuangkan penyelesaian dan pembetulan kepada segala masalah ini,” kata Daniel dengan penuh semangat.
Sekiranya pelbagai catatan dan komentar di laman rangkaian sosial diteliti, para pejuang di dalam dan di luar Mosik mempunyai misi yang sama iaitu “membetulkan Malaysia” dan “menyelamatkan Malaysia”.
Saya meminta Daniel menghuraikan visi berkenaan supaya jelas kepada orang ramai serta tidak pula dimanipulasi pihak berkepentingan.
“Dalam konteks Sabah, visi kami menegakkan Sabah sebagai negara yang mempunyai kuasa autonomi mutlak, negara maju yang menguasai sepenuhnya sumber ekonomi, bebas daripada pendatang asing tanpa izin (Pati), rakyat Sabah hidup aman dan harmoni dengan hak dan adat-istiadat anak negeri yang terus terpelihara, serta hak menikmati keadilan sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Kalaulah Sabah berjaya dimerdekakan sekali lagi (kali pertama pada 31 Ogos 1963) dan Sabah menjadi sebuah negara berdaulat, timbul pula pertanyaan siapa yang layak menjadi perdana menteri.
“Ada jawapannya dalam buku ‘Sabah Sebuah Negara’ yang bakal terbit sebelum hujung tahun ini,” kata Daniel tanpa mendedahkan jawapan secara mudah.
Sementara menantikan kelahiran buku berkenaan, kita bolehlah mengikuti perkembangan perjuangan Mosik dan SSKM menerusi laman rangkaian sosial dan media alternatif. – 23 September, 2014.
0 comments :
Post a Comment