Saturday, 26 September 2015

Autonomi: Parti dari Malaya tidak lagi relevan di Sarawak?

FOKUS: Kekurangan Sarawak pada hari ini adalah parti pembangkang dan gabungan pembangkang yang berasal dari negeri ini sendiri.

Pembangkang yang kita ada hari ini adalah parti dari Malaya. Dengan seruan-seruan untuk autonomi yang lebih besar, penurunan kuasa kepada negeri, pemenuhan Perjanjian Malaysia 1963 dan Sarawak untuk orang Sarawak (S4S). Dengan mengambil kira hal-hal ini, DAP, PKR dan PAS – kesemuanya parti dari Malaya – akan mendapati mereka semakin terpinggir daripada sentimen umum warga Sarawak.

Sementara itu Ketua Menteri Adenan Satem akan terus memberi penekanan dengan kenyataannya seperti “kami mahu autonomi penuh dikembalikan”, “pencuri balak perlu dibanteras”, “kawasan hutan kekal perlu diperbanyakkan” dan “Putrajaya mengambil pendekatan yang salah dan kami lebih tahu situasi tempatan dan bagaimana untuk mentadbir negeri”.

Suka atau tidak, kenyataan-kenyataan ini selari dengan sentimen warga Sarawak kerana hanya Adenan yang berani bercakap tentangnya. Dan tanpa perlu menjadi populis.

Adenan bukannya menjadi populis. Beliau hanya berkata bahawa Sarawak satu ketika dahulu memiliki segalanya, namun telah dirompak selepas diperdaya bahawa Malaysia akan menjadikannya lebih makmur.

“Sebelum 16 September 1963 kita memiliki status autonomi penuh,” beliau dilaporkan berkata. Hari ini beliau memimpin perjuangan untuk mengambil semula apa yang menjadi kepunyaan negeri.

Inilah apa yang akan dilakukan anak Sarawak sejati. Memang kerajaannya adalah kerajaan Barisan Nasional. Tetapi ini kerana beliau tidak mahu menjadi kerajaan pembangkang.

Parti Bersatu Sabah (PBS) di bawah pimpinan Joseph Pairin Kitingan pernah menjadi kerajaan pembangkang. Lihatlah apa yang terjadi kepadanya dan negeri itu.

Sarawak boleh mengawal hal-ehwalnya sendiri, namun ia tidak akan dapat mengawal Parlimen. Dengan menjadi sebahagian daripada BN, Sarawak bukan sahaja dapat ditadbir secara sepatutnya, ia juga dapat memberikan tekanan kepada Putrajaya.

Putrajaya memiliki tanggungjawab memberikan dana kepada Sarawak. Ia juga bertanggungjawab untuk membantu membangunkan negeri. Itulah tugas kerajaan pusat.

Kerajaan Adenan memiliki pegangan dalam kerajaan pusat melalui keahlian BN-nya. Ia memudahkan komunikasi dan persefahaman antara Sarawak dan Putrajaya.

Permainan Adenan adalah permainan untuk orang Sarawak dari orang Sarawak, dan dengan gaya Sarawak.

Bukankah beliau telah mengatakannya? “Kita lebih tahu tentang situasi tempatan dan bagaimana untuk mentadbir negeri dengan lebih baik.”

Saya ingin melihat pengusiran MP DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua daripada negeri sebagai sebahagian daripada keseluruhan perjuangan Adenan bagi Sarawak untuk orang Sarawak.

Mesej Adenan nampaknya adalah orang Sarawak perlu mempunyai keyakinan untuk melaksanakan perjuangannya sendiri. Orang Sarawak tidak boleh bergantung kepada pihak Malaya untuk kekuatan fizikal dan moral.

Ketika era Darurat, warga Sarawak telah berjuang menentang komunis di Malaya. Ada yang terkorban. Orang Malaya tidak akan dapat menyekat komunisme dengan sendiri, tanpa renjer dan pengesan dari Sarawak.

Manakala askar Malaya yang berhadapan serangan Indonesia di Tebedu ketika penghujung konfrontasi Malaysia-Indonesia hanya meninggalkan ingatan-ingatan melucukan. Menurut cerita orang tempatan, mereka menembak ke atas pokok! Ada yang berlawak bahawa mungkin askar-askar ini merasakan orang Indonesia juga tinggal di atas pokok!

Secara ringkasnya, warga Sarawak sentiasa mampu berdikari, ketika zaman perang dan juga aman. Mengapa pada masa ini pihak Malaya seperti Pua dianggap seperti wira pula?

DAP Sarawak tidak akan mendapat simpati daripada warga negeri ini dengan terlalu bergantung kepada rakan mereka di Malaya.

DAP Sarawak perlu berjuang seperti orang Sarawak dan untuk orang Sarawak. Bukan untuk Malaya.

Apa yang negeri ini perlukan adalah parti atau gabungan pembangkang Sarawak yang sebenar, yang lahir dan bertapak di negeri ini.

DAP Sarawak boleh menjadi parti itu jika ia adalah Parti Tindakan Demokratik Sarawak, dan bukannya Parti Tindakan Demokratik Malaya cawangan Sarawak.

Source: The Ant Daily

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...