Sunday, 11 January 2015

Perhatikan Anak-Anak Kecil Ini Juga..

Saya menyambut baik cadangan Doris Jones untuk membawa Sabah Sarawak untuk keluar dari Malaysia. Bagi saya, ayat yang seawalnya ialah untuk membawa Sabah Sarawak untuk keluar dari Malaya dan bukannya Malaysia. Sebaliknya, JIKA Perjanjian-Perjanjian yang telah dimateraikan semasa persetujuan menyertai Pembentukkan Malaysia gagal didengar dan dihormati dan beserta dengan Hak-Hak atau Perkara yang dimaktubkan diabaikan, MAKA Sabah Sarawak patut bersetuju untuk bersama sama keluar sahaja dari Malaysia.

Perjuangan untuk membawa Sabah Sarawak untuk keluar daripada jajahan Malaya semestinya memakan masa yang sangat lama,saya katakan akan ada banyak tentangan dan halangan yang bakal menanti di hadapan.

Bagi saya cabaran dan halangan yang paling mencabar usaha kita dalam perjuangan ini ialah; Memupuk kesedaran dan kebangkitan Nasionalisma secara keseluruhan Bangsa-Bangsa Borneo. Sukarelawan mungkin berjaya merancakkan petisyen dengan mengumpulkan tandatangan orang-orang kampung namun sejauh manakah tahap kesedaran dan keyakinan mereka (orang-orang kampung) terhadap tugas-tugas dan tanggungjawab yang bakal mereka pikul selepas menurunkan tandatangan. Bersediakah mereka-mereka ini?

“Kertas putih yang beserta tandatangan itu hanya akan menjadi kesia-siaan kepada Bangsa-Bangsa Borneo yang tidak ikut serta berjuang”

Tidak keterlaluan juga kalau saya nyatakan di sini bahawa Bangsa-bangsa Borneo harus memiliki dan mengalami kebangkitan secara besar-besaran seperti yang pernah dilakukan oleh para tua-tua dahulu. Walaupun kita akan bakal menyaksikan sekali lagi rusuhan (Riots) diadakan di jalan raya, perhimpunan-perhimpunan aman (Peaceful Assembly) di mana-mana,juga adakan mogok lapar (Hunger Strike). Kebangkitan yang bukan sengaja diada adakan tetapi sememangnya ini yang rakyat mahukan, seringkali kita mencuba untuk bertoleransi dengan keadaan yang berlaku di sekeliling kita, kita masih bersifat mendiamkan diri dan cuba untuk mengalah dengan keadaan. Kerana rakyat bersikap naif untuk mengambil tindakan drastik melawan melalui pemberontakkan dan kekacauan (The Revolt and Chaos).

Seperti yang saya katakan tadi,perjuangan ini akan mengambil masa yang sangat panjang untuk direalisasikan. Sementara perjuangan ini diteruskan oleh generasi muda dan tua, adakah kamu terfikirkan sejenak bagaimanakah nasib anak-anak kecil yang bersekolah di kawasan pedalaman yang masih meneruskan penghidupan yang selalu mengundang rasa simpati dan belas kasihan. Mereka ini yang terpaksa kita korbankan masa depan mereka JIKA kesedaran 1 minit yang hilang begitu saja selepas turunkan tandatangan di atas kertas,dan tidak diteruskan .

Kita teruskan kehidupan kita dengan berjuang setiap hari menuntut keadilan, dan hak-hak yang telah diabaikan oleh Malaya, sementara itu pengabaian terhadap hak-hak anak-anak kecil di kawasan pedalaman saban hari dipinggirkan.Jangan harapkan pemimpin-pemimpin untuk turun dan masuk perkampungan,melalui hutan belantara yang sudah separuh botak,menginjakkan kaki atas tanah merah becak sudah berpuluhan tahun tidak diaspalkan, untuk melihat keadaan infrastruktur pondok-pondok sekolah yang sepatutnya sudah layak diletakkan di muzium Negara untuk tatapan seluruh dunia.

Walaupun kita masih melalui kehidupan yang tidak memberangsangkan dengan keadaan ekonomi yang tidak pernah kekal bertumbuh, keadaan sosio-ekonomi yang tidak teratur dan pengurusan perjalanan politik yang tidak pernah berkesudahan baik bermula daripada era Tun Mustapha pemimpin tempatan memerintah,dan, kita terus terusan menyalahkan pucuk pimpinan pemimpin terdahulu terhadap pergolakkan politik yang kita hadapi sekarang.

Saya yakin bahawa bukan kita di Sabah dan Sarawak sahaja yang mengalami situasi politik yang sedemikian rupa,banyaknya Negara-Negara Asia juga turut menyaksikan pergolakkan politik saban hari,Negara-Negara Demokrasi yang masih merasakan bahawa demokrasi (Democracy) masih belum diamalkan sepenuhnya,Hak-hak asasi manusia (The Human Rights) dipinggirkan,pemimpin-pemimpin kerajaan yang korupsi,konflik bawah kontrak sosial (Social Contract) dan sebagainya.

Secara keseluruhan Bangsa-Bangsa di Negara Asia mengalami pergolakkkan politik beserta susun atur entity masyarakat yang masih melalui krisis sosio-ekonomi sebagai akibat kesan penjajahan dan saki baki pentadbiran British yang masih berbekas walaupun sejurus selepas kemerdekaan diberikan kepada Bangsa-bangsa Borneo terutamanya. Bagi Sabah dan Sarawak apalah erti di sebalik Kemerdekaan yang dikecapi jika terus menerus hidup dalam penaklukan Malaya yang kian menghampiri dua generasi hidup dalam tahun-tahun kegelapan.

Saya mahu membawa anda semua iaitu Bangsa-bangsa Borneo untuk berjuang juga untuk memperbaiki sistem kemanusiaan kita, memperbaiki persekitaran kehidupan anak-anak kecil yang kita secara tidak sedari kita meminggirkan keperluan dalam memperbaiki situasi kehidupan dan akhlak mereka kerana kita sibuk untuk mengejar perubahan dan pembebasan daripada kolonisma Malaya. Apa yang saya maksudkan di sini ialah lebih banyak sukarelawan (volunteers) yang masuk ke dalam kawasan-kawasan pedalaman untuk membuat aktiviti kemanusiaan yang dapat mendidik dan membuka minda mereka. Ajarkan anak-anak kecil ini tentang sejarah-sejarah Borneo (Sabah Sarawak), tanamkan slogan “Sabah untuk orang Sabah” (Sabah for Sabahan).

Lihat kepada jiran-jiran Negara Asia kita,mereka berusaha untuk memperbaiki institusi kemanusiaan melalui anak-anak kecil yang dipinggirkan jauh di kawasan pedalaman,yang duduk di luar jangkauan manusia moden. Mereka menubuhkan sendiri kumpulan yang akan bergerak secara sukarela untuk menjangkau anak-anak sekolah, memberikan mereka dorongan dan sokongan moral,membantu membentuk entiti diri mereka. Jangan kita harapkan usaha kerajaan untuk datang menjangkau anak-anak kecil generasi kita kerana kita orang asal lebih memahami keperluan nilai moral (Morale Values) dan semangat (Spiritual) mereka. Bahawa kita yakin mereka ini yang akan kita tinggalkan untuk pembelaan masa depan Bangsa-Bangsa Borneo.

“Suatu ketika dahulu mendiang Datuk Peter Mojuntin seringkali menempatkan diri beliau bersama sama dengan orang kampung, kerana beliau berpendapat bahawa hanya dengan masuk ke dalam kawasan perkampung, menempatkan diri bersama sama dengan masyarakat maka dia akan dapat mengenal pasti masalah yang mereka hadapi. Beliau tahu bahawa tidak akan ada orang luar yang betul-betul mahu membela nasib dan penghidupan orang-orangnya selain daripada diri sendiri atau orang asal”.

Kita masih belum kehilangan semangat yang ditinggalkan oleh beliau. Ia masih ada dan tinggal bersama sama dengan kita semua,semangat “Anak Emas Kadazan” kerana kita masih berharapkan dan mahukan matlamat yang sama iaitu keadilan (Justice), kesamarataan (Equality) dan kemudahan pendidikan yang lebih baik (Better Educational Facilities) untuk anak-anak kecil dan kita perjuangkan melalui satu suara.

“Kita mahu menyelesaikan konflik dan permasalahan ini dengan menjentik perbezaan budaya dan bangsa asal orang borneo dengan itu maka kita semua disatukan dan berjuang untuk matlamat yang sama”.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...