Monday, 19 January 2015

Kenyataan RASMI SSKM-SSU(UK) berhubung dengan Isu Nama Doris Jones yang dipopularkan oleh Dua Orang Rakyat Negara Sabah

Salam sejahtera, Salam Perpaduan dan Salam Kemerdekaan Negara Sabah dan Negara Sarawak untuk kali ke-52 tahun kepada semua Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak. Saya Doris Jones yang mewakili sebuah kumpulan sosial didalam Facebook yang bernama Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang kini sudah bergerak dibawah naungan sebuah Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah berdaftar secara SAH dibawah bidang perundangan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) ingin membuat kenyataan rasmi berhubung dengan isu nama saya yang telah dipopularkan oleh dua orang rakyat Negara Sabah.

Dalam kenyataan ini, tidak perlulah pihak kami untuk menyebut nama mereka kerana mereka ini cukup terkenal dengan sikap kebudak-budakkan walaupun umur sudah menunjukkan kematangan. Mereka ini juga sangat terkenal dengan perbuatan yang jelas memalukan diri-sendiri (mungkin disebabkan tidak mengenal erti malu?). Jikalau tidak, rajin-rajinlah bertanya kepada rakan-rakan Facebook tentang siapakah gerangan mereka yang dimaksudkan didalam kenyataan ini. 

Saya Doris Jones dengan bangga ingin mengesahkan bahawa nama sebenar saya adalah Doris Yapp Kim Yuon daripada etnik Sino Kadazan. Saya memiliki sijil kelahiran anak Negara Sabah. Ya, saya adalah peranakan Cina dan Kadazan. Saya menyambut Tahun Baru Cina, Hari Natal, Hari Raya dan Hari Kaamatan.

Satu soalan untuk anda semua, adakah anda nampak sebarang masalah dengan nama, etnik dan perayaan yang disambut oleh saya?

Ingin saya perjelaskan disini bahawa perjuangan ini [SSKM-SSU(UK)] adalah berlandaskan kepada semangat Sabah for Sabahan, Sarawak for Sarawakian dan Borneo for Bornean bersama-sama dengan Pejuang-pejuang Kebangsaan Negara Sabah dan Negara Sarawak yang lain. Ia merangkumi semua etnik di Negara Sabah dan Negara Sarawak. Saya tidak melihat perbezaan etnik ini akan menghalang usaha dalam pembebasan Bangsa Borneo daripada cengkaman penjajahan kerajaan malaya yang telah menyamar menjadi kerajaan malaysia.

Mengapa?

Sebab dalam perjuangan ini adalah bertujuan untuk melindungi Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik dengan kebudayaannya yang masing-masing unik, yang sebenarnya cuba untuk dilenyapkan dengan satu cara iaitu penyerapan identiti dan penjenamaan etnik baru melalui proses memalayanisasikan Bangsa Borneo. Tindakan ini MESTI DIHALANG SEPENUHNYA agar identiti Bangsa Borneo tidak akan hilang di Dunia ini. Ia adalah tanggungjawab bersama.

Perjuangan ini bukan berlandaskan kepada keutamaan mana-mana etnik tetapi adalah berlandaskan kepada satu BANGSA dalam Negara. Bangsa yang merangkumi kesemua etnik Orang Asal dan yang bukan Orang Asal tetapi mempunyai semangat Sebangsa yang asli. Itulah salah satu misi Perjuangan teras pihak kami.

Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak.

Anda lihat, anda baca dan anda sedar bahawa sejak kebelakangan ini, terdapat provokasi kebudak-budakkan yang dibelakangi oleh individu-individu yang luarannya nampak matang namun dalamannya sungguh kurang matang dan tidak professional. Diselebungi dengan emosi yang tidak stabil, penuh dengan kedengkian, dan tidak salah dilabelkan sebagai duri dalam daging. Tapi syukur, kerana mereka sudah pun dikenalpasti dan kini rakyat sendiri telah mampu melihat dan menilai rentak perjuangan mereka yang berusaha untuk menikam daripada depan dan belakang bagi melumpuhkan semangat perjuangan Bangsa Borneo.

Punca kepada provokasi ini menurut kefahaman kami adalah disebabkan apabila pihak kami terus mempertahankan pendirian dengan hujah serta justifikasi yang jelas bahawanya 20 Perkara itu adalah salah satu bukti yang telah memperlengkapkan Perjanjian Malaysia 1963. Ini kerana 20 Perkara adalah satu memorendum yang telah dihantar kepada pihak IGC oleh lima buah badan parti politik Negara North Borneo (kini dikenali sebagai Sabah) untuk diberikan perhatian lebih agar ia dimasukkan kedalam Perjanjian Malaysia. Namun Perkara 7 tidak dipersetujui kerana ia, menurut kebijaksanaan Lord Landsdowne (Pengerusi Inter-Governmental Committee-IGC), pembentukkan persekutuan malaysia ini adalah berdasarkan kepada "kerelaan" masing-masing. Atas sebab itu, tidak perlu dimasukkan larangan untuk berpisah kerana Negara Sabah (dahulunya North Borneo) dan Negara Sarawak mempunyai HAK MUTLAK untuk menamatkan persekutuan dengan malaya dalam persekutuan malaysia ini "pada bila-bila masa" sahaja tanpa sebarang halangan mahupun sekatan.

Pihak kami akan menggunakan Dokumen Kolonial British, Laporan Suruhanjaya Cobbold, 18 & 20 Perkara, Laporan IGC dan Perjanjain Malaysia 1963 sebagai bukti yang akan digunakan bagi menjustifikasikan kepada Pemisahan daripada Persekutuan Malaysia ini. Manakala pihak yang menentang pendirian kami ini mengatakan bahawa mereka akan "HANYA" menggunakan Perjanjian Malaysia 1963 sahaja. Namun perjuangan mereka hanyalah untuk terus kekal didalam persekutuan malaysia dengan hanya memperbetulkan konsep yang seharusnya dipraktikkan oleh negara anggota dalam persekutuan malaysia. Jadi, jelas sudah perbezaan yang nyata daripada pihak penentang dengan perjuangan pihak kami yang sudah nekad dalam keputusan dan percaya bahawa selagi Negara Sabah dan Negara Sarawak bersekutu dengan malaya dalam persekutuan malaysia, selagi itulah masa depan Bangsa Borneo iaitu Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak tidak akan terjamin malah penindasan itu akan menjadi sesuatu yang tidak dapat digambarkan nanti melalui kata-kata.

Semoga pencerahan ini mampu menerangkan segala kekeliruan yang timbul daripada provokasi murahan golongan itu yang sekadar ingin mendapatkan perhatian sahaja demi mempromosikan diri agar mendapat sokongan pada PRU14. Orang Sabah cakap, kirim salam sajalah.

Sebelum mengakhiri kata-kata dalam kenyataan ini, ingin saya mengucapkan Selamat membuat persiapan dalam menyambut Tahun Baru Cina kepada semua etnik Cina daripada Negara Sabah dan Negara Sarawak. Semoga ikatan kekeluargaan akan bertambah erat dan rezeki akan lebih melimpah-limpah pada tahun ini. 

Join The Fight!

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...