Monday, 26 January 2015

Demokrasi Malaysia Juga Sepatutnya Mewakili Suara Rakyat Sabah Sarawak

Umum mengetahui bahawa bagaimana kepentingan pilihan raya yang sebenarnya akan menentukan masa depan Negara dan yang akan membela nasib rakyat yang bernaung di bawahnya. Tetapi sebenarnya kuasa politik yang telah disalah gunakan oleh para pemimpin dewasa ini telah memberikan ruang untuk membenarkan sebuah penindasan terhadap berlakunya percabulan hak-hak dan pemimpin kerajaan yang korup terus menerus berkuasa.

Konsep pilihan raya yang digunakan sebagai sebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi sepatutnya bercirikan kuasa untuk menggubal undang-undang dan struktur kerajaan ditentukan oleh rakyat bersama sama dengan wakil yang dipilih, dan kita tidak dapat melihat keberkesanannya. Salah guna kuasa menyebabkan rakyat mengalami suatu penghidupan yang tidak mencapai status sebuah keharmonian masyarakat dan taraf sosial masyarakat berada dalam keadaan yang tidak memuaskan.Kuasa politik yang dipegang oleh rejim yang korup menyebabkan kita mengalami kegagalan dalam mencapai keseimbangan dan kesamarataan kuasa politik dalam kalangan golongan orang asal, kesatuan ekonomi dan perkembangan sosial masyarakat pribumi sabah dan pribumi Sarawak.

Demokrasi tidak berakhir dengan satu pihak sahaja yang akan diberi mandat dan kuasa untuk mentadbir. Adalah penting untuk memastikan bahawa proses demokrasi akan terus memainkan peranan yang penting dalam kehidupan orang-orang kita dan kerajaan sepatutnya menggalakkan penyertaan popular rakyat dalam menganjurkan dan menguruskan hal ehwal masyarakat melalui badan-badan tempatan dan komuniti pembangunan kampung iaitu dengan melihat ke dalam institusi ketua kampung dan ketua anak negeri. Ini merupakan satu saluran penting yang mana bumiputra boleh menyuarakan pandangan dan aspirasi mereka dan mengemukakan keperluan mereka supaya tindakan boleh diambil.

Sejak kebelakangan ini kebangkitan rakyat mulai dirasakan sebagai akibat bangkit daripada kesedaran tentang pendedahan sejarah yang telah lama cuba disembunyikan daripada pengetahuan umum rakyat Bangsa Bangsa Borneo. Permintaan rakyat mulai disuarakan kepada kerajaan yang memerintah, golongan etnik majoriti di Sabah mulai mengangkat isu berkenaan pembangunan ekonomi dan sosial rakyat. Kebebasan hak-hak untuk bersuara sepatutnya tidak dimatikan melalui sebarang sistem perundangan yang digubal melalui kuasa perlembagaan Negara.

Semua kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak sepatutnya bangkit dan bersatu membuat kesepakatan dalam mencari satu titik persamaan dalam menghadapi rintangan dalam usaha untuk menyasarkan satu pemerintahan berpusat yang berpaksikan di bawah kekuasaan Sabah dan Sarawak, kuasa penentuan untuk berkerajaan sendiri. Ketidakseimbangan yang telah berlaku oleh kerana kuasa tiga kaum dominan yang terdapat di tanah semenanjung Malaysia mulai meminggirkan hak-hak orang asal untuk turut serta menikmati keistimewaan sebagai kaum pribumi Sabah dan pribumi Sarawak.

Semua golongan etnik yang terdapat di Sabah seharusnya bertindak untuk menuntut hak otonomi, satu kesatuan dibentuk agar pemimpin politik tempatan di Sabah dapat “dirawat” dan seterusnya yang akan menyatukan rakyat sabah bukan di bawah kekuasaan kerajaan Malaya. Campur tangan oleh semua golongan etnik yang akan dapat membentuk satu kesatuan yang kuat dengan membawakan harapan supaya konsep asal melalui Perjanjian Malaysia dan perkara 20/18 semasa persetujuan membentuk Malaysia dahulu dapat disuarakan melalui suara rakyat.

Selagi perjanjian dan hak-hak sebenar rakyat Sabah tidak diberikan dan diiktiraf maka konflik ini akan dijangka berpanjangan, tidak akan didapati sebarang penyatuan yang bakal diperolehi lagi melalui rakyat Sabah untuk diberikan kepada kerajaan Malaysia.

Keenganan kerajaan Malaya untuk berkongsi kuasa bersama dengan etnik majoriti di Sabah, pada asalnya setiap etnik majoriti yang terdapat di Sabah sepatutnya berperanan dalam memegang kekuasaan pemerintahan dan mengusulkan permintaan rakyat sabah bagi tujuan kesamarataan dalam mengecapi hak-hak istimewa sebagai pribumi Sabah dan pribumi Sarawak.Tetapi malangnya perkongsian sama rata kuasa untuk dimonopoli oleh wakil golongan etnik sabah dan Sarawak tidak diberikan.

Pembangunan ekonomi terus menerus dinikmati oleh golongan elite dan pemimpin yang berkuasa dan kelebihan untuk menggunakan segala kemudahan-kemudahan terus dimanfaatkan oleh kalangan mereka sahaja. Kelebihan kuasa ekonomi mungkin memberikan penghidupan yang memberangsangkan kepada golongan kaya dan elite namun tidak kepada rakyat yang berada di tingkat bawah hieraki kontrak sosial masyarakat. Sehingalah kerajaan menyelesaikan konflik masyarakat ini hanya dengan ini maka golongan etnik di sabah dan Sarawak akan menikmati perhatian yang sewajarnya.

Kekayaan sumber alam yang terdapat di atas tanah Borneo Sabah dan Sarawak telah membutakan mata dan perebutan hak dan pemilikan tanah daripada pelabur asing di tanah semenanjung Malaysia untuk tujuan bertapak dan menjalankan urusan bisnes telah mempengaruhi pemimpin tempatan untuk tidak berkerjasama dengan rakyat dan membentuk penyatuan bagi melawan kuasa politik Malaya.

Adalah baiknya jika kita menjauhi segala tuntutan untuk memenuhi keinginan untuk mengecapi pembangunan ekonomi sebagai langkah prioriti sebaliknya memfokuskan kepada mencapai satu keputusan politik, sebagai permintaan untuk mendapatkan kembali otonomi dan hak-hak istimewa sebagai orang asal.

Kemunculan banyaknya anak-anak muda untuk berjuang dan menyertai perbahasan politik di Sabah semakin dirasai. Kerajaan terutamanya pemimpin tempatan yang mewakili orang-orang asal sepatutnya memberikan hak kawalan kepada anak-anak muda untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap banyaknya isu yang gagal diselesaikan oleh kerajaan. Berikan ruang dan hak untuk bersuara kepada mereka.

Tekanan yang diberikan oleh rakyat dan orang asal kepada kerajaan adalah bertujuan untuk suatu gesaan untuk mengiktiraf dan mengembalikan kuasa otonomi dan hak-hak sebagai orang asal yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia melalui perkara 20 dan 18.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...