Thursday, 4 December 2014

Pindaan Akta Hasutan tumpu tiga elemen utama – Zahid

Dalam 20 hingga 30 tahun akan datang mungkin istilah yang ada pada hari ini tidak sesuai lagi, maka ini perlu dipersesuaikan untuk generasi akan datang

MELAKA: Pindaan Akta Hasutan 1948 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Mac depan memberi penekanan kepada tiga elemen iaitu aspek media sosial, sensiviti agama dan isu Sabah dan Sarawak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan itu bertujuan mengukuh akta dan menyesuaikannya dengan keperluan masa kini dan akan datang.

Menurut beliau, walaupun terdapat beberapa aspek lain yang perlu dilihat bagi memperkasakan akta tersebut, tiga elemen terbabit merupakan isu yang perlu diberi perhatian serius demi keselamatan dan keharmonian negara.

“Saya bersama Penasihat Undang-Undang kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara dan pengamal perundangan untuk melihat beberapa aspek yang harus diperkasakan dan dipinda.

“Dalam 20 hingga 30 tahun akan datang mungkin istilah yang ada pada hari ini tidak sesuai lagi, maka ini perlu dipersesuaikan untuk generasi akan datang,” katanya, memetik laporan Utusan Online.
Jelas Ahmad Zahid, semasa Akta Hasutan digubal, media sosial masih belum wujud, malah beberapa medium komunikasi seperti yang ada pada masa kini juga tidak ada.

Selain itu, katanya, terlalu banyak isu keagamaan yang sensitif dibangkitkan pada masa kini bukan hanya oleh orang bukan Islam berkaitan isu pokok kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi juga oleh orang Islam yang memburukkan agama lain.

“Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja, tindakan mesti diambil dengan segera terhadap mana-mana individu yang menyentuh agama lain dengan niat untuk memburukkannya,” tegasnya.

Kata beliau, dalam soal Sabah dan Sarawak, sudah ada tindakan oleh individu atau kumpulan yang mahu membawa keluar negeri tersebut dari Malaysia, oleh itu perkara tersebut juga perlu disentuh di bawah Akta Hasutan.

Menurutnya, apabila pindaan akta tersebut dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong serta diwartakan pada tahun hadapan, maka Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berupaya mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar kesalahan di bawah akta berkenaan.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...